Guyana minta Google hapus nama jalan

Guyana minta Google hapus nama jalan

GEORGETOWN, Guyana, 15 Sept (AFP) – Guyana berhasrat meminta Google supaya mengeluarkan beberapa nama jalan raya berhampiran sempadan yang dikongsi bersama Venezuela, kata menteri luar negeri Guyana semalam.

Nama berkenaan, dalam bahasa Sepanyol, nampaknya mencadangkan mereka adalah sebahagian dari Venezuela, kata Carl Greenidge semalam.

“Kami perlu mendapatkan nasihat teknikal untuk memujuk Google supaya menyelesaikannya. Kami perlu melihat bagaimana Google boleh bertanggungjawab. Mungkin mereka tidak sedar,” beritahunya kepada wartawan.

Greenidge mendapati Google Maps telah melabel jalan utama di rantau pantai Essequibo Av. 100 Bolivar dan bukannya Essequibo Coast Public Road atau Anna Public Road, sebagaimana penduduk Guyana memanggilnya. Sebatang jalan serenjang dilabel Calle 100 Guyana.

Jalan raya mempunyai nama Inggeris di Guyana, bekas jajahan Britain, bertentangan dengan negara jiran Venezuela. Greenidge berkata Guyana akan menggunakan perintah mahkamah jika perlu.

“Ia mempunyai implikasi kepada Guyana disebabkan jika kepimpinan sebuah negara boleh bangun pada satu pagi dan memutuskan bahawa sempadan mereka merentangi dari Alaska ke Cape of Good Hope, misalnya, dan mereka boleh memberitahu Google mengenainya dan mereka akan melaksananya, maka ia adalah satu resipi untuk keadaan kucar-kacir,” kata beliau.

Venezuela telah lama mempunyai tuntutan ke atas rantau Essequibo.

Pada awal tahun ini, Presiden Nicolas Maduro mengeluarkan perintah melanjutkan sempadan laut Venezuela untuk memasukkan laut di luar rantau Essequibo, yang termasuk simpanan minyak yang kini sedang dicari gali oleh syarikat minyak AS ExxonMobil.

Essequibo membentuk dua pertiga daripada wilayah Guyana. Satu-satunya negara yang bertutur bahasa Inggeris di Amerika Selatan itu menegaskan sempadan tanah yang sah didirikan pada 1899 oleh keputusan mahkamah penimbang tara, satu keputusan yang tidak pernah diiktiraf oleh Venezuela.

ARTIKEL YANG SAMA