Hadapi 2 tuduhan baru

Hadapi 2 tuduhan baru

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_150710_mahkamah logoBANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Seorang lelaki tempatan yang menghadapi tuduhan cuba mencabul kehormatan seorang pelajar Sekolah St Andrew’s pada Jun lalu berdepan dengan dua pertuduhan tambahan apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini.

Terdahulu, Pengiran Shahirul Hamadi bin Pengiran Haji Jaya, 28, didakwa cuba mencabul kehormatan seorang pelajar Sekolah St Andrew’s berusia 11 tahun dengan memasukkan tangannya ke dada pelajar itu antara jam 12 dan 12:18 tengah hari pada 29 Jun 2015 dalam kawasan sekolah.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah seksyen 354 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat.

Untuk pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh cuba menculik dua pelajar perempuan Sekolah St Andrew’s berusia 11 dan 10 tahun pada waktu dan tarikh yang sama di kawasan sekolah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 363, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun dan denda.

Dalam sebutan itu, Timbalan Pendakwa Raya Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman memohon kepada mahkamah supaya kes tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi sementara Peguam Ahmad Zakaria yang mewakili tertuduh memohon kebenaran mahkamah untuk tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin.

Timbalan Pendakwa Raya tidak membantah untuk tertuduh diikat jamin namun mengenakan syarat-syarat iaitu tertuduh tidak boleh mendekati mangsa, tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan tidak boleh ditangkap atau melakukan kesalahan sepanjang tempoh ikat jamin.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli membenarkan permohonan ikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan, dan menetapkan 16 Julai untuk sebutan semula sementara menunggu tarikh kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

ARTIKEL YANG SAMA