Hadapi cabaran dengan berani dan bijak

Hadapi cabaran dengan berani dan bijak

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Generasi berwawasan mesti melengkapi diri terutama dalam mendapat ilmu pengetahuan. Tanpa ilmu dan kepintaran berfikir dan berani bertindak, sukarlah untuk mengatasi cabaran-cabaran.

Bekas Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu, Haji Ismail bin Haji Yusof, 63, seterusnya menekankan, ekonomi masa ini menghadapi kelembapan, di mana masalah pengangguran dan kemiskinan mungkin akan menjadi bebanan negara.

“Maka kita mesti berani bertindak dengan bijak tanpa menunggu keadaan ekonomi berubah, sikap menunggu akan membawa padah yang lebih teruk.”

Ini, ujar beliau yang dahulu juga merupakan seorang kontraktor bangunan dan kejuruteraan awam, seperti orang sakit, yang mana dia pergi ke hospital berjumpa doktor atau pakar supaya dapat pulih dengan menerima nasihat daripada doktor dan pakar dan menggunakan ubat yang baik untuknya.

“Kalau penyakit masih belum sembuh, jumpa lagi pakar pilihan yang lain sehingga ia sembuh. Begitulah juga dengan negara, jangan takut mengaku tidak pandai atau tidak tahu,” tekan beliau lagi semasa memberi pendapatnya mengenai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-32 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.

Haji Ismail bin Haji Yusof, bekas Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu.
Haji Ismail bin Haji Yusof, bekas Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu.
Awang Rosle ketika ditemui pada Sambutan Hari Kebangsaan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Awang Rosle ketika ditemui pada Sambutan Hari Kebangsaan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Manakala itu, Ketua Urus Setia Fatwa, Jabatan Mufti Kerajaan, Awang Rosle bin Haji Jumat pula menyatakan, kita mesti berani menceburkan diri dalam apa jua bidang sama ada pertanian, perusahaan dan sebagainya.

“Yang Penting kitani ada rasa yakin dan optimis. Di samping itu, bertawakal kepada Allah S.W.T, jangan berasa ragu-ragu takut tidak akan berjaya. Yang penting kitani harus mencuba dulu.

“Kemudian, kepentingannya kalau kitani berjaya sudah setentunya akan menguntungkan negara, bukan sahaja dari segi ekonomi, malah dari segi kesejahteraan dan keamanan,” tambah beliau lagi.

Awang Rosle juga memberi saranan kepada orang ramai yang masih ragu-ragu untuk menjadi seorang pengusaha disebabkan kekurangan bajet atau modal.

“Kerajaan juga sentiasa membantu para pengusaha. Contohnya Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan yang berterusan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dan juga Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) yang menawarkan skim bantuan kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi. Bantuan juga boleh didapati di bahagian sektor swasta iaitu daripada perbankan Islam.”

ARTIKEL YANG SAMA