Hadapi Chelsea aksi bermakna buat Wenger

Hadapi Chelsea aksi bermakna buat Wenger

LONDON, 23 Sept – Arsene Wenger meraikan ulang tahun ke-20 sebagai pengurus Arsenal hujung minggu ini dengan menentang lawan yang sering mendatangkan kesukaran buat dirinya berbanding pasukan lain.

Pengurus dari Perancis itu hanya menang lima kali dalam 31 pertemuan menentang Chelsea dan yang paling mengecewakan adalah perlawanan ke-1,000 sebagai pengurus The Gunners yang menyaksikan pasukannya tewas 0-6 di Stamford Bridge.

Bagaimanapun, selepas melakar kemenangan 4-0 ke atas Nottingham Forest dalam saingan Piala Liga pada pertengahan minggu dan menewaskan Hull City 4-1 minggu lalu, dia kini lebih yakin dengan kemampuan skuad The Gunners.

“Kami ada waktu empat hari untuk membuat persiapan. Kami fokus untuk perlawanan ini. Pemain perlu meneruskan prestasi seperti ketika menentang Hull kerana itu yang kami mahu. Prestasi menentang Forest pula menunjukkan memang ada persaingan,” kata Wenger.

Wenger menyambut ulang tahun ke-20 semalam sejak dia yang kini berusia 66 tahun diperkenalkan kepada media sebagai pengurus Arsenal yang baharu selepas tiba daripada kelab Jepun, Nagoya Grampus Eight bagi menggantikan Bruce Rioch yang dipecat.

Era Wenger di Arsenal boleh dikatakan berjaya dalam tempoh 10 tahun pertama. Dari 1996 hingga 2006, hampir semua sentuhan Wenger bertukar emas buat The Gunners apabila tiga kali menjuarai gelaran Liga Perdana Inggeris, Piala FA (empat kali) dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam satu musim pada 2003/2004 sekali gus layak Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, pemburuan Arsenal bagi menamatkan kemarau kejuaraan liga sejak 12 tahun lalu bermula hambar selepas tewas 3-4 kepada Liverpool disusuli seri tanpa jaringan dengan juara bertahan, Leicester CIty.

Namun, The Gunners mencatat kemenangan dalam tiga aksi terakhir mereka menentang Watford, Southampton dan Hull dengan kemenangan yang mencerahkan kembali peluang Wenger membawa Arsenal sekali lagi menjadi juara liga. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA