Hadiah bermakna di bulan Ramadan

Hadiah bermakna di bulan Ramadan

Gambar oleh Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jun – Ramadan kali ini cukup bermakna buat penghuni Rumah Panjang Melilas apabila mereka menerima sumbangan bantuan rumah daripada Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Projek Julangan Titah.

Penyerahan rumah panjang 15 pintu di Kampung Melilas itu disempurnakan oleh Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud kepada Pemangku Penghulu Mukim Melilas, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Dewa Haji Mohammad Ali bin Abdullah Hitam.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku Ahli Jawatankuasa Projek Julangan Titah.

Rumah panjang itu dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti ‘ruai’ atau ruang serba guna, bilik pelbagai guna, kemudahan generator berasingan, tangki air dan tempat letak kereta.

Hadiah paling bermakna buat 40 buah keluarga di Rumah Panjang Melilas sempena bulan Ramadan.
Hadiah paling bermakna buat 40 buah keluarga di Rumah Panjang Melilas sempena bulan Ramadan.
Dato Paduka Haji Suhaimi menyaksikan Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan menyerahkan replika kunci Rumah Panjang Melilas kepada Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Dewa Haji Mohammad Ali.
Dato Paduka Haji Suhaimi menyaksikan Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan menyerahkan replika kunci Rumah Panjang Melilas kepada Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Dewa Haji Mohammad Ali.
Dato Paduka Haji Suhaimi bergambar ramai bersama para penghuni Rumah Panjang Melilas.
Dato Paduka Haji Suhaimi bergambar ramai bersama para penghuni Rumah Panjang Melilas.

Kemudahan-kemudahan tersebut diharap dapat memberi keselesaan kepada 40 buah keluarga yang menghuni rumah panjang tersebut di mana 90 peratus penghuninya adalah beragama Islam.

Pembinaan Rumah Panjang Melilas merupakan salah satu daripada usaha Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menggalakkan masyarakat supaya bantu-membantu ke arah kebajikan, agar penghuninya dapat menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dengan lebih selesa.

Usaha ini juga jelas memperlihatkan sikap keprihatinan dan pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang sentiasa mengelinga dan menitikberatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat Baginda khususnya golongan yang memerlukan, walau di mana mereka berada. Seorang lagi penerima yang kurang berkemampuan di Daerah Temburong akan menerima rumah esok.

ARTIKEL YANG SAMA