Hadiah bermakna sempena Ramadan

Hadiah bermakna sempena Ramadan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Ramadan kali ini cukup bermakna bagi seorang peniaga makanan apabila beliau bersama dua orang anaknya menerima sumbangan bantuan rumah daripada Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Projek Julangan Titah.

Dengan bantuan tersebut, Haji Abdul Rahman bin Haji Kamis dan keluarganya kini mempunyai tempat berteduh yang selesa dan selamat, yang mana sebelum ini, kisah beliau pernah menarik perhatian ramai dan pernah disiarkan dalam akhbar ini apabila terpaksa tinggal di gerainya di Tamu Selera di ibu negara.

Ketika ditemui Media Permata semalam, Haji Abdul Rahman, 58, yang juga merupakan bekas anggota tentera dan polis memberitahu, beliau sudah menjalankan perniagaan menjual nasi campur di gerai itu lebih 10 tahun yang lalu.

Bagaimanapun, semuanya berubah apabila rumah yang dikurniakan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampung Delima Dua, Anggerek Desa mengalami kerosakan sehingga berbahaya untuk didiami.

Mengambil kira keselamatan keluarga serta kekurangan sumber kewangan untuk memperbaiki kerosakan rumah berkenaan, Haji Abdul Rahman membuat keputusan untuk membawa keluarganya tinggal di gerai sementara menunggu bantuan pihak berkuasa untuk memperbaiki rumahnya.

Ketika menceritakan permohonannya, Haji Abdul Rahman berkata, pada Mei 2010 melalui bantuan Ketua Kampung Pancha Delima, Haji Zulkifli bin Haji Awang Ya’akub, beliau telah membuat permohonan bertulis untuk mendapatkan bantuan Jabatan Daerah Brunei dan Muara yang kemudiannya memanjangkan permohonan beliau ke Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), namun tidak mendapat kelulusan.

Masalah tempat tinggal beliau berlanjutan sehingga memaksa Haji Abdul Rahman mengambil keputusan untuk berpindah ke gerai nasi campurnya itu.

Bagaimanapun, pada 8 September 2015, beliau menerima surat peringatan pertama dari Jabatan Bandaran yang bertajuk ‘Arahan Untuk Tidak Membenarkan Ruang Gerai Jualan Untuk Tempat Tinggal Bagi Pembantu di Petak No. 9, Gerai Malam Tamu Selera, Jalan Dato Taib, Bandar Seri Begawan.’

Walaupun akur dengan arahan itu, keadaan hidup memaksa beliau untuk terus tinggal di gerai itu kerana bimbangkan keselamatan anak dan isterinya jika mereka pulang ke rumah papan yang hampir roboh dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk memperbaikinya.

Kebimbangannya memuncak apabila, pada 8 Disember 2015, beliau menerima surat peringatan kedua Jabatan Bandaran yang memberinya masa tujuh hari untuk tidak tinggal di gerai itu.

Setelah lima bulan berlalu, barulah Haji Abdul Rahman dan keluarga menerima khabar gembira bahawa beliau bersama dua orang anaknya dikurniakan sebuah rumah setiap seorang.

“Saya menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah kurnianya dan keprihatinan Baginda mengurniakan sebuah tempat berteduh dan mendoakan agar Baginda sentiasa dilindungi Allah S.W.T dan kekal karar memerintah negara yang aman dan sentosa,” beliau melahirkan penghargaannya yang tidak terhingga setelah menerima rumah bantuan berkenaan, semalam.

Dalam pada itu, Media Permata juga berpeluang menemu bual dua orang anak perempuannya, Dayang Siti Nor Manja Lina Wati dan Dayang Siti Nor Manja Marne dengan kedua-duanya turut meluahkan perasaan gembira yang teramat sangat atas kurnia Baginda Sultan kepada mereka.

“Kami amat bersyukur dengan apa yang telah diberikan, tambahan lagi kurnia yang diberikan Allah S.W.T pada bulan Ramadan. Dan Alhamdulillah setelah sekian lama, tahun ini kami dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan selesa seperti keluarga yang lain,” ujar Dayang Siti Nor Manja Lina Wati.

Dayang Siti Nor Manja pula berkata, “Kalau dulu, sukar dan takut untuk menjemput sanak saudara datang ke rumah untuk berhari raya. Tahun ini Alhamdulillah, Hari Raya Aidilfitri kami akan terukir dengan kenangan manis bersama sanak saudara, sahabat handai dan yang penting bersama keluarga tercinta.”