Hadiah Hari Raya istimewa

Hadiah Hari Raya istimewa

Oleh Wani Roslan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Dayang Nuraziemah binti Haji Zulkifli menerima hadiah Hari Raya istimewa berupa sebuah kereta baru Kia Carens EX setelah terpilih sebagai pemenang utama dalam cabutan bertuah promosi Hari Raya Kia, yang diadakan di Bilik Pameran Kia, Beribi, hari ini.

Beliau ketika ditemui melahirkan perasaan teruja apabila namanya tersenarai dalam kalangan finalis dan tidak menjangka dia akan memenangi hadiah utama kerana beliau hanya jangkakan memenangi salah satu barangan gajet.

“Saya membeli Kia Sportage Jun lalu untuk ibu saya dan hari ini, saya menang satu lagi kereta. Saya sangat gembira dan ia akan menjadi satu lagi hadiah buat ibu saya,” kata pemenang berusia 23 tahun itu.

Dalam cabutan itu, pemenang kedua, Dayang Masnah binti Haji Sabtu memandu pulang Kia Cerato Sedan dan Awang Harun bin Hipnie memenangi hadiah ketiga berupa Kia Rio Hatchback.

Manakala itu, hadiah keempat berupa Kia Picanto menjadi milik Dayang Norasikin binti Aslan.

Pemenang hadiah utama, Dayang Nuraziemah yang ditemani ibunya.
Pemenang hadiah utama, Dayang Nuraziemah yang ditemani ibunya.

Pemenang kelima dan keenam, masing-masing menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai $3,000 dan $1,500, sementara itu, finalis bertuah lain menerima wang tunai $500 setiap seorang.

Cabutan di majlis itu telah dibuat oleh Pengurus Jualan di Baiduri Finance Berhad, Haji Muhammad Ali bin Haji Metussin; Ketua Pemasaran dan Perhubungan Awam BIBD At-Tamwil Berhad, Awang Mohd Firdaus bin Haji Mokim; Pegawai di Baiduri Finance Berhad, Haji Zulkifli bin Haji Jaafar; dan Pembantu Ketua Pemasaran dan Perhubungan Awam BIBD At-Tamwil Berhad, Awang Asharul bin Norshari Kamaluddin.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Grand Motors Sdn Bhd, Frankie Ho; Pengarah Eksekutif Grand Motors Sdn Bhd, Haji Shaiful Rizal bin Pehin Dato’ Dr Haji Ahmad; dan Pengurus Jualan Kia, Jacqueline Koh.

Dayang Masnah menang hadiah kedua dalam promosi Hari Raya Kia.
Dayang Masnah menang hadiah kedua dalam promosi Hari Raya Kia.
Awang Harun membawa pulang Kia Rio Hatchback.
Awang Harun membawa pulang Kia Rio Hatchback.

Promosi Hari Raya Kia berlangsung dari 1 Mei hingga 31 Julai lalu, yang mana 10 pelanggan bertuah dipilih sebagai finalis daripada hampir 500 pelanggan yang membeli mana-mana model Kia sepanjang tempoh promosi berkenaan.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi 10 finalis bertuah yang dipilih daripada 200 pelanggan dalam promosi ‘Cerato for the young and the young at heart’ yang ditawarkan bermula 1 April hingga 31 Julai bagi pembeli Kia Cerato.

Finalis berkenaan membawa pulang pelbagai gajet termasuk Asus Ultimate Fighting Machine Laptop, Sony Playstation 4 500GB dan Go Pro Hero4.

Bersempena dengan cabutan utama itu, Grand Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Kia di negara ini, juga telah meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan mengadakan Majlis Rumah Terbuka bagi para pelanggannya.

ARTIKEL YANG SAMA