‘Hadiah’ istimewa Isteri Duta

‘Hadiah’ istimewa Isteri Duta

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Kelab Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam, hari ini, telah meraikan seramai 25 orang anak yatim dari Daerah Brunei dan Muara, di Big Mac Room, McDonald’s, Gadong.

Sambutan dikelolakan atas permintaan salah seorang ahli kelab tersebut, Puan Parichart Raktabutr, isteri Duta Besar Thailand ke Brunei Darussalam yang ingin bertemu dengan anak-anak yatim dan menyalurkan bantuan derma serta hadiah sebelum beliau meninggalkan Brunei Darussalam.

Dalam ucapan Presiden Kelab Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam, Ungku Datin Hajjah Fanzah binti Haji Osman, beliau mengatakan langkah Puan Parichart yang menjual barangan beliau dan menyumbangkan kesemua jualan kepada anak-anak yatim merupakan sesuatu yang mulia.

Ungku Datin Hajjah Fanzah juga berterima kasih kepada McDonald’s Brunei kerana menaja makanan bagi kanak-kanak untuk menjayakan majlis tersebut.

Ahli Kelab Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam yang turut hadir meraikan anak yatim di Big Mac Room, McDonald’s, Gadong.
Ahli Kelab Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam yang turut hadir meraikan anak yatim di Big Mac Room, McDonald’s, Gadong.
Ungku Datin Hajjah Fanzah dan Puan Parichart Raktabutr (kanan), bersama ahli Kelab Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam ketika menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.
Ungku Datin Hajjah Fanzah dan Puan Parichart Raktabutr (kanan), bersama ahli Kelab Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam ketika menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.

Manakala itu, Pemangku Pengurus Besar McDonald’s Brunei, Awang Mohd Al-Fatah bin Haji Seruji pula memberitahu, McDonald’s sangat gembira untuk bekerjasama dengan kelab berkenaan bagi membuat inisiatif amal dan sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat dalam menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Sempena Sambutan Tahun Baru Cina masih meriah diraikan, ahli jawatankuasa Tiong Hwa kelab itu turut memberikan Ang Pow kepada kanak-kanak tersebut dan ahli-ahli lainnya memberikan beg hadiah.