Hadiri dialog di Doha

Hadiri dialog di Doha

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Satu delegasi Brunei Darussalam telah berlepas ke Doha, Qatar, kelmarin bagi menghadiri Persidangan Dialog Antara Fahaman Doha ke-12 yang akan diadakan pada 16 dan 17 Februari.

Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (KHELNP), Brunei Darussalam diwakili oleh Charge d’Affaires, Kedutaan Brunei Darussalam di Qatar, Dayang Octavia binti Haji Ali; Pegawai Tugas-tugas Khas, KHELNP, Awang Mohamed Nawawi bin Haji Bolhasan; Pegawai Penyelidik Agama Kanan, Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Mas Reduan bin Haji Jumat; Pegawai Agama, Haji Metussein bin Haji Jumat; guru-guru agama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Reverend Andrew Shie dari Gereja St. Margaret dan Gereja St. James.

Persidangan bertema ‘Keselamatan Kerohanian dan Intelektual dalam Berdepan Doktrin Keagamaan’ ini bertujuan untuk membuka haluan bagi pemimpin-pemimpin agama untuk menangani isu-isu mengenai penyalahgunaan agama dan untuk menggambarkan doktrin asli agama masing-masing yang akan membantu mengurangkan konflik semasa dalam kalangan orang ramai.

Menurut kenyataan itu lagi, persidangan antarabangsa ini akan melibatkan ahli-ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), para pemimpin agama berlainan fahaman dan pemimpin-pemimpin komuniti lainnya.

Brunei Darussalam telah menyertai persidangan Doha ke-10 dan ke-11, masing-masing pada 2013 dan 2014.

Delegasi Brunei yang berlepas ke Doha untuk menyertai persidangan Dialog Antara Fahaman Doha ke-12.
Delegasi Brunei yang berlepas ke Doha untuk menyertai persidangan Dialog Antara Fahaman Doha ke-12.

Selain itu, Brunei juga telah menghadiri mesyuarat-mesyuarat pelbagai fahaman lain yang diadakan di seluruh dunia di bawah skop Perikatan Peradaban Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNAOC), Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan lain-lain lagi.

ARTIKEL YANG SAMA