Hadiri Perkhidmatan Pertahanan Asia ke-15

Hadiri Perkhidmatan Pertahanan Asia ke-15

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit, semalam, telah menghadiri Perkhidmatan Pertahanan Asia ke-15 2016 yang berlangsung di Pusat Perdagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Mengiringi beliau ke acara berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Teknologi) di Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Haji Mohd Amirol Shahnoel bin Haji Mohd Noeh.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, semasa lawatan itu, Timbalan Menteri Pertahanan telah mengadakan perjumpaan dua hala dengan Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Sri Mohd Johari bin Baharum.

Dalam perjumpaan itu, kedua-dua belah pihak mengesahkan semula hubungan dua hala yang baik di antara kedua-dua kementerian, terutamanya dalam kerjasama pertahanan dan tentera.

Pertemuan Timbalan Menteri Pertahanan bersama Laksamana Harry B. Harris.
Pertemuan Timbalan Menteri Pertahanan bersama Laksamana Harry B. Harris.
Pertemuan Timbalan Menteri Pertahanan bersama Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia.
Pertemuan Timbalan Menteri Pertahanan bersama Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia.

Selain itu, mereka juga membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Dalam pada itu, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz turut mengadakan pertemuan dengan Pemerintah Pusat Kawalan Pasifik Amerika Syarikat, Laksamana Harry B. Harris.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua belah pihak telah membincangkan kerjasama pertahanan dan tentera dua hala, yang antara lain termasuk pertukaran lawatan dan eksesais.

Di samping itu, beliau juga berpeluang melawat pameran yang menyediakan kemas kini mengenai perkembangan industri pertahanan semasa, teknologi, trend produk dan perkhidmatan-perkhidmatan terkini dalam pelbagai bidang pertahanan dan keselamatan.