Hadiri seminar olahraga belia

Hadiri seminar olahraga belia

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Seorang jurulatih olahraga tempatan yang melatih atlet-atlet skim Tutong di bawah Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam (BDAF), Haji Sharon bin Haji Shamsudin akan menghadiri Seminar Antarabangsa Persatuan Persekutuan Olahraga Belia yang diadakan di Yogyakarta, Indonesia bermula 2 hingga 7 September ini.

Seminar yang dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Pusat Pembangunan Serantau, Jakarta Indonesia ditawarkan kepada semua negara Asia yang memerlukan seorang perwakilan dari setiap negara.

Menurut kenyataan BDAF di sini, seminar itu akan dikendalikan oleh Abdel Malek El-Hebil (Maroko) yang mana akan menyasarkan topik mengenai kumpulan umur 13 hingga 15 tahun, satu kumpulan penting dan memerlukan kejurulatihan spesifik. Seminar itu juga penting buat penyatuan tenaga mahir sukan olahraga, dan pelaksanaan Pelan Dunia dan Strategi Pembangunan Olahraga IAAF.

Setiausaha Agung BDAF, Awang Mohd Shahjohan ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, dipetik sebagai berkata, “Kami berharap apa jua pengetahuan yang Haji Sharon dapat pada seminar itu nanti boleh diadaptasi di sini dan akan memberikan kita kemajuan untuk melahirkan atlet muda berkualiti.”

Awang Mohd Shahjohan (kiri) menghantar Haji Sharon di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Awang Mohd Shahjohan (kiri) menghantar Haji Sharon di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.