Hadiri sidang pertama pemimpin Islam Asia Pasifik

Hadiri sidang pertama pemimpin Islam Asia Pasifik

Oleh Awang Osman bin Abu Bakar

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Timbalan Mufti Kerajaan, Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin, hari ini, berlepas ke Turki bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama Pemimpin-pemimpin Islam Asia Pasifik yang akan berlangsung dari 13 hingga 16 Oktober.

Penyertaan Dr. Haji Japar ke persidangan berkenaan, di mana beliau akan membentangkan kertas kerja, adalah atas jemputan Presiden Hal Ehwal Agama Turki, Prof. Dr. Mehmet Gormez.

Beliau disertai oleh Pegawai Penyelidik Ugama Kanan, Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Sofian bin Awang Tengah.

Menurut Prof. Dr. Mehmet Gormez, dalam surat jemputannya, persidangan tersebut merupakan urutan usaha pihaknya dalam menyumbang kepada mengembalikan semula kemuliaan Islam dan umat Islam, iaitu secara penganjuran pertemuan pemimpin-pemimpin agama Islam di pelbagai benua, seterusnya membincangkan usaha dan langkah mendepani cabaran dalam kehidupan umat Islam sekarang.

Dr. Haji Japar dan Haji Sofian bersama wakil kedutaan Turki di sini sebelum berlepas.
Dr. Haji Japar dan Haji Sofian bersama wakil kedutaan Turki di sini sebelum berlepas.

Sidang kemuncak yang pertama itu, katanya, merupakan wadah bagi saling bertukar fikrah, berbincang untuk membina semula hubungan sejarah secara permuzakarahan yang berterusan antara pemimpin-pemimpin agama Islam di Asia Pasifik, merumus kerjasama dalam pendidikan dan perkhidmatan, menstrukturkan semula persaudaraan Islam supaya kesatuan Islam kukuh semula, mengongsi kepakaran dan kemahiran dalam urusan agama di berbilang benua (Eropah, Afrika dan Amerika), di samping harapan untuk membincangkan strategi umat Islam bagi menghadapi cabaran di Asia Barat.

ARTIKEL YANG SAMA