Hadiri Simposium Tentera Laut Pasifik Barat

Hadiri Simposium Tentera Laut Pasifik Barat

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad kini sedang berada di Padang, Republik Indonesia bagi menghadiri Simposium Tentera Laut Pasifik Barat (WPNS) ke-15.

Simposium berkenaan diadakan bersempena Pemeriksaan Semula Armada Antarabangsa Angkatan Tentera Laut Indonesia (IDN) dan Latihan Tentera Laut Multilateral KOMODO (MNEK) 2016 ke-2 yang turut melibatkan kehadiran 13 orang ketua tentera laut dan 22 ketua delegasi dari 35 buah negara rantau Pasifik Barat dengan penyertaan 20 kapal perang. Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Joko Widodo dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan operasi-operasi tentera di samping peperangan, terutamanya keupayaan-keupayaan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.

Tuan Yang Terutama seterusnya menekankan bahawa aktiviti-aktiviti MNEK mempromosikan diplomasi pertahanan dan pada masa yang sama mengukuhkan keupayaan-keupayaan multilateral tentera-tentera laut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, kapal perang TLDB, KDB DARUTTAQWA turut menyertai MNEK yang diadakan dari 12 hingga 16 April, bersama kapal-kapal perang dari negara-negara lain.

Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi mendengarkan penerangan di salah satu petak pameran.
Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi mendengarkan penerangan di salah satu petak pameran.

Latihan berkenaan merangkumi Table Top Exercise (TTX), Command Post Exercise (CPX), dan Field Training Exercise (FTX). CPX memfokuskan kepada operasi-operasi pengamanan maritim dan bantuan kemanusiaan serta bantuan bencana.

Kemuncak acara adalah WPNS ke-15 bertema ‘Perkongsian Maritim bagi Kestabilan di Rantau Pasifik Barat’ yang dihadiri oleh ketua-ketua tentera laut dan ketua-ketua delegasi dari rantau Pasifik Barat.

Menurut kenyataan itu lagi, di samping acara-acara berkenaan, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi turut mengambil peluang untuk mengadakan pertemuan-pertemuan dua hala bersama beberapa rakan sejawatan.

Simposium ke-15 berkenaan diakhiri dengan persetujuan untuk mengadakan bengkel WPNS seterusnya pada April 2017 di Chile dan Simposium pada 2018 di Republik Korea.

ARTIKEL YANG SAMA