Haibatullah ketua baru Taliban

Haibatullah ketua baru Taliban

KABUL, 25 Mei – Taliban Afghanistan hari ini mengumumkan orang berpengaruh, Haibatullah Akhundzada sebagai ketua baru mereka selepas mengesahkan kematian ketua tertinggi Mullah Akhtar Mansour dalam serangan dron AS.

“Haibatullah Akhundzada telah dilantik sebagai ketua baru Taliban selepas persetujuan sebulat suara dalam majlis tertinggi Syura, dan semua anggota syura menjanjikan kesetiaan kepadanya,” kumpulan pemberontak berkata dalam satu kenyataan.

Ia menambah kata Sirajuddin Haqqani, musuh pasukan tentera AS, dan Mullah Yakoub, anak kepada pengasas Taliban Mullah Omar, dilantik sebagai penolongnya

Haibatullah, adalah salah seorang dari dua penolong di bawah Mansour, yang terbunuh dalam serangan dron AS Sabtu lalu, serangan Amerika pertama yang disasarkan ke atas ketua tertinggi Taliban Afghanistan di bumi Pakistan.

Pembunuhan Mansour adalah tamparan hebat kepada pergerakan militan itu selepas sembilan bulan dia secara rasmi dilantik sebagai ketua ekoran perebutan kuasa dan mencetuskan kejutan dalam kepimpinan.

Gambar pemimpin baru pejuang Taliban, Mullah Haibatullah Akhundzada. – AP
Gambar pemimpin baru pejuang Taliban, Mullah Haibatullah Akhundzada. – AP

Perlantikan Haibatullah dibuat selepas majlis tertinggi Taliban mengadakan mesyuarat tergempar yang bermula Ahad lalu di barat daya Pakistan untuk mencari orang layak bagi jawatan kepimpinan.

Sumber-sumber Taliban memberitahu AFP para anggota majlis tertinggi mengambil sikap tidak menonjol dan kerap menukar tempat perundingan mereka untuk mengelak serangan-serangan udara baru. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA