Hainan Airlines pengendali pertama dua pesawat di China

Hainan Airlines pengendali pertama dua pesawat di China

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Hainan Airlines menjadi pengendali pertama bagi varian 787-8 dan 787-9 kumpulan Boeing Dreamliner di China.

Ini susulan penghantaran 787-9 Dreamliner pertama syarikat penerbangan itu.

Boeing dan Hainan menerima penghantaran itu pada 8 Jun.

Dalam kenyataan, Boeing berkata Hainan, syarikat penerbangan milik swasta terbesar di China, menyewakan pesawat tersebut melalui perjanjian dengan Air Lease Corporation (ALC).

Penghantaran itu juga bagi 787-9 Dreamliner pertama kepada ALC, yang mempunyai 15 tambahan pesawat 787-9 dalam pesanan.

“787-9 Dreamliner akan menjadi tambahan yang baik kepada kumpulan pesawat jarak jauh kami,” kata Naib Pengerusi Hainan Airlines Mou Weingang dalam kenyataan dari Everett, Washington.

“787-9 yang amat cekap akan memacu kedudukan pasaran kami di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sebagai pengendali pesawat 787 terbesar di China, Hainan Airlines telah mempunyai 10 pesawat 787-8 dan merancang untuk menggunakan 787-9 Dreamliner yang pertama di laluan baharu dari Beijing ke Las Vegas mulai September.

“Kami amat berbesar hati untuk meraikan penghantaran penting ini dengan ALC dan Hainan Airlines,” kata Naib Presiden Kanan Jualan Timur Laut Asia Boeing Commercial Airplanes, Ihssane Mounir, dalam kenyataan bersama.

“787-9 akan melengkapi kumpulan pesawat 787-8 Hainan Airlines yang sedia ada, membolehkan syarikat penerbangan itu membuka perkhidmatan tanpa henti yang baharu bagi pengembangan global yang berterusan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA