Haiti, Republik Dominic sepakat selesaikan isu migrasi, perdagangan

Haiti, Republik Dominic sepakat selesaikan isu migrasi, perdagangan

SANTO DOMINGO, 14 Okt – Presiden Republik Dominic dan Haiti semalam bersetuju memulai semula rundingan untuk menyelesaikan pertikaian penghijrahan dan komersial yang membelenggu hubungan antara kedua-dua negara itu.

Para pemimpin itu yang mengadakan pertemuan di sempadan bahagian Dominic di bandar Barahona, berkata menteri kedua-dua kerajaan itu akan mengusahakan perjanjian untuk meningkatkan perdagangan komersial dan memulihkan pengangkutan darat barangan, menurut memorandum persefahaman.

Presiden Dominic Danilo Medina dan rakan sejawatnya dari Haiti, Michel Martelly berkata menteri-menteri industri dan perdagangan mereka serta menteri-menteri kewangan akan mengadakan pertemuan di Port-au-Prince dalam tempoh 15 hari akan datang.

“Kedua-dua kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan perhubungan dan penyelarasan yang sedang berjalan bagi penghantaran balik yang lebih harmoni,” kata Menteri Luar Dominic Andres Navarro yang membacakan memorandum kedua-dua presiden.

Haiti telah mengusahakan kempen antarabangsa menentang dasar penghijrahan Dominic yang menyaksikan lebih 250,000 orang – kebanyakannya mereka yang mempunyai ibu bapa warga Haiti – tidak bernegara.

Republik Dominic telah memberi tempoh kepada penghijrah tidak berdokumen sehingga 17 Jun untuk mendaftar dengan pihak berkuasa atau berdepan penghantaran balik. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA