Hajah Siti Halimah rayu bantuan

Hajah Siti Halimah rayu bantuan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7 Julai – Biarpun kemampuannya sebagai kaum hawa amat terbatas, namun sebagai isteri, dia sanggup mengangkat suaminya yang mengalami cacat anggota dan sudah tidak berupaya berjalan sejak beberapa tahun lepas untuk ke hospital bagi pemeriksaan doktor.

Hajah Siti Halimah binti Abdullah, 51, semasa memberitahu Media Permata hari ini berkata, suaminya Haji Hamzah bin Ibrahim, 70, sudah lama mengalami kecacatan lemah di bahagian kaki sejak mengalami penyakit Gout.

Kemudian suaminya pernah terjatuh sehingga mengakibatkan patah di bahagian punggungnya, menyebabkan dia tidak lagi berupaya untuk berjalan.

Haji Hamzah, merupakan pesara Jabatan Kerajaan pada tahun 2005, dan pada masa ini hanya menerima bantuan pencen usia tua sejumlah $250 sebulan, mempunyai tanggungan untuk menyara isteri dan dua orang anak seorang perempuan berusia 23 tahun dan seorang lagi anak lelaki berusia 14 tahun yang kini masih bersekolah dalam Tahun 9 di Sekolah Menengah Sayyidina Ali Kuala Belait.

Menurut Hajah Siti Halimah, yang juga merupakan seorang mualaf keturunan Melanau berasal dari Mukah Sarawak, sebelum ini, mereka pernah menerima bantuan Asnaf Fakir Miskin, selama lima tahun dan telah tamat tempoh bantuan itu pada tahun lepas, dengan bantuan tersebut, katanya, mereka telah menggunakannya untuk pembayaran rumah, bil elektrik, serta keperluan lainnya.

Haji Hamzah (tengah) di sisi isterinya Hajah Siti Halimah dan anak bongsu mereka.
Haji Hamzah (tengah) di sisi isterinya Hajah Siti Halimah dan anak bongsu mereka.
Haji Hamzah yang sudah tidak berupaya untuk berjalan terpaksa diangkat oleh isterinya.
Haji Hamzah yang sudah tidak berupaya untuk berjalan terpaksa diangkat oleh isterinya.

“Kami telah membuat pembaharuan permohonan untuk mendapatkan lagi bantuan Asnaf Fakir Miskin, tetapi sejauh ini belum ada jawapan,” kata Hajah Siti Halimah, yang mengaku juga pernah menerima bantuan menunaikan ibadah Haji bagi kalangan saudara baru, pada tahun 2013 daripada pihak berkenaan di negara ini.

Dengan mansuhnya bantuan Asnaf Fakir Miskin ke atas mereka itu, Hajah Siti Halimah, turut bimbang kerana sudah 10 bulan pembayaran rumah mereka di alamat No 3 Simpang 363-29-43-20 RPN Kampung Pandan 7, tertunggak, kerana pendapatan mereka tidak mencukupi, selain perlukan perbelanjaan anak mereka yang masih sekolah dan juga keperluan seharian termasuk makan dan minum mereka sekeluarga.

“Anak kami yang sulung perempuan, bekerja sebagai Penyambut Tetamu di Hotel Kuala Belait, dengan gaji hanya $450 sebulan, dan dia juga kadang-kadang terpaksa menumpang tidur di rumah kawan sekerja kerana tidak ada pengangkutan baginya,” kata Hajah Siti Halimah.

Beliau juga turut menceritakan atas rasa simpati seorang hamba Allah, beberapa tahun yang lalu, telah tampil menghulurkan bantuan untuk mendinding bahagian tingkat bawah rumah mereka, setelah individu berkenaan melihat keadaan suaminya yang sukar untuk turun naik menggunakan tangga dengan terpaksa diangkat oleh isterinya.

“Saya teringin untuk mendapatkan pekerjaan, demi membantu menanggung keperluan keluarga, tetapi saya terpaksa merawat dan menjaga sepenuh masa suami saya yang sedang sakit, bagaimanapun untuk menampung keperluan makan, saya berkebun sedikit di belakang rumah, kerana tidak saya menyangkal ada kalanya kami tidak mempunyai cukup wang untuk mendapatkan makanan,” kata Hajah Siti Halimah dengan nada hiba.

Beliau juga menyatakan, tidak mampu untuk mendapatkan sebuah kerusi roda bagi keperluan kemudahan suaminya, kerana melalui bantuan yang sebelumnya mereka terima juga digunakan untuk menampung keperluan yang lain termasuk rumah, makan dan sebagainya termasuk keperluan sekolah.

Sehubungan itu beliau menyatakan akan berusaha lagi untuk mendapatkan bantuan daripada beberapa pihak berkenaan, tetapi katanya, kadang-kadang dia tidak mempunyai peluang waktu untuk pergi ke sesuatu tempat memandangkan perlu berada di sisinya suaminya sepanjang masa.

Harapan keluarga itu, adalah jika ada pihak tertentu yang dapat memberikan bantuan berupa catuan makanan bagi keperluan mereka setiap bulan.

ARTIKEL YANG SAMA