Hajat Bayern tidak kesampaian

Hajat Bayern tidak kesampaian

BERLIN, 1 Mei (AP) – Hasrat Bayern Munich mengesahkan kejuaraan Bundesliga lebih awal tidak kesampaian selepas sekadar terikat 1-1 dengan Borussia Moenchengladbach, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan pencabar terdekat mereka, Borussia Dortmund masih berpeluang untuk mengintai gelaran juara apabila membelasah Wolfsburg 5-1 dalam satu lagi perlawanan.

Bayern yang dibimbing Pep Guardiola akan menjulang trofi Bundesliga kali ke-26 jika menang ke atas Moenchengladbach dengan Thomas Mueller meletakkan pasukan itu mendahului apabila membuka tirai jaringan seawal minit keenam.

Bagaimanapun, juara bertahan itu terpaksa membayar dengan harga yang tinggi susulan aksi hambar mereka terutama di babak kedua apabila Andre Hahn berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72.

Dortmund kini hanya ketinggalan lima mata di belakang Bayern dengan berbaki dua perlawanan. Pierre-Emerick Aubameyang meledak dua gol buat Dortmund selain Shinji Kagawa, Adrian Ramos dan Marco Reus yang masing-masing menyumbangkan satu gol.

Sementara itu, Eintracht Frankfurt mendapatkan suntikan semangat terhadap harapan mereka mengelak tersingkir daripada saingan liga utama apabila kembali bangkit mengatasi Darmstadt 2-1.