Hajat Sevilla tidak kesampaian

Hajat Sevilla tidak kesampaian

MADRID, 29 Feb (AFP) – Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk menyamai rekod liga Sepanyol dengan 34 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan sekali gus mendahului lapan mata di puncak La Liga selepas kemenangan 2-1 ke atas Sevilla, awal pagi tadi.

Sevilla menjadi pasukan terakhir menewaskan Barca pada Oktober lalu dan sepatutnya mengulangi rekod itu selepas mendahului menerusi jaringan Vitolo.

Bagaimanapun, seperti yang berlaku, Barca bangkit daripada permulaan perlahan dan perlu berterima kasih kepada sepakan percuma cemerlang Lionel Messi dan jaringan Gerard Pique pada awal babak kedua.

Skuad Luis Enrique itu menyamai rekod Real Madrid pada musim 1988-1989 dan dengan rekod itu mereka kini mendahului 12 mata di hadapan Madrid yang menghuni tempat ketiga.

Atletico Madrid kekal pencabar terdekat Barca selepas menewaskan Real 1-0, semalam.

“Kami dalam prestasi terbaik, tetapi rekod tidak bermakna apa-apa. Pada penghujung nanti, segala-galanya diadili dengan kejuaraan,” kata Pique kepada Movistar+.

“Musim ini kami berada pada landasan yang tepat, tetapi kami perlu untuk menyelesaikannya.”

Pada perlawanan lain, skuad bimbingan Gary Neville, Valencia tewas 0-3 di gelanggang sendiri kepada Athletic Bilbao sementara Deportivo La Coruna turut senasib selepas kecundang 0-1 kepada Granada. Villareal pula menang bergaya 3-0 ke atas Levante.

ARTIKEL YANG SAMA