Haji Adanan, ketua kampung baru

Haji Adanan, ketua kampung baru

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Kawasan 3 Skim Tanah kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Tungku kini mempunyai ketua kampung yang baru iaitu Haji Adanan bin Haji Bagol yang diraikan di Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Ketua Kampung di perkarangan rumahnya di STKRJ Kampung Katok A di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohamad Sunadi bin Haji Buntar.

Haji Mohamad Sunadi dalam ucapannya berkata, tugas dan tanggungjawab ketua kampung tidak mengira masa dan tempat terutama sekali dalam mengurus tadbir dan mempedulikan hal ehwal serta kesejahteraan penduduk kampung.

“Ketua kampung berperanan sebagai titik rujukan kepada penduduk kampung dalam apa jua keperluan dan kerjasama yang diperlukan oleh penduduk dan dalam masa yang sama mempertingkatkan dan menambah baik mutu perkhidmatan terutama di dalam memenuhi harapan anak-anak buah kampung,” ujarnya.

Beliau turut meminta penduduk kampung supaya bekerjasama terutama sekali dalam memberikan pandangan dan pemikiran yang bernas untuk kemajuan dan perkembangan kampung serta memberikan sokongan kepada usaha ketua kampung demi kecemerlangan kampung masing-masing.

Di majlis itu, Haji Adanan membacakan Ikrar Ketua Kampung dan menandatangani ikrar berkenaan sebelum beliau buat kali pertamanya menyampaikan ucapan di hadapan anak-anak buah kampung yang hadir ke majlis itu.

Beliau akan memimpin Kawasan 3 STKRJ Kampung Tungku yang didiami lebih kurang 1,783 penduduk dan 310 buah rumah.

ARTIKEL YANG SAMA