Haji Eddy, Ratinah juara Musabaqah Al-Quran

Haji Eddy, Ratinah juara Musabaqah Al-Quran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mei – Haji Eddy Huzaimi bin Haji Mat Yassin dan Dayang Ratinah binti Haji Hidup, masing-masing diumumkan sebagai johan qari dan qariah dalam Musabaqah Membaca Al-Quran Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya Sempena Sambutan Israk dan Mikraj yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah, Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin, Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Haji Amer Hishamuddin bin POKAPDSS Haji Zakaria, pegawai-pegawai kanan, pegawai serta kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Di majlis berkenaan, tiga qari dan tiga qariah mengambil bahagian dalam peringkat akhir yang mana kategori qari disertai oleh Haji Eddy Huzaimi dari Jabatan Perkhidmatan Bangunan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Awang Mohammad Yusrin bin Daud dari Jabatan Ukur yang mendapat tempat kedua dan Awang Mohammad Isham Mudin bin Haji Maidin dari Jabatan Perkhidmatan Teknikal, JKR di tempat ketiga.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menghadiri majlis tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menghadiri majlis tersebut.
Salah seorang peserta qari di majlis berkenaan.
Salah seorang peserta qari di majlis berkenaan.
Pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan yang menghadiri majlis berkenaan.
Pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan yang menghadiri majlis berkenaan.

Di samping Dayang Ratinah dari Jabatan Ukur, kategori qariah turut disertai Dayang Amal Hayati binti Haji Junaidi dari Jabatan Tanah dan Dayang Rosnani binti Haji Mohiddin dari Jabatan Perkhidmatan Bangunan, JKR, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Majlis turut diserikan dengan ceramah keagamaan sempena Sambutan Israk Mikraj bertajuk Solat dan Al-Quran Teras Pembangunan Ummah yang disampaikan oleh penceramah jemputan dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Adi Aismat bin Lamat.

Majlis kelolaan Jabatan Pentadbiran dan Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Bangunan JKR itu dihasratkan untuk memperingati Sambutan Israk Mikraj.

Di samping itu, ia juga menggalakkan pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan untuk terus mempelajari dan menguasai bacaan Al-Quran, menggalakkan peserta untuk sentiasa mengamalkan membaca Al-Quran supaya menjadi amalan harian, serta menambah keyakinan kepada pegawai dan kakitangan serta untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

ARTIKEL YANG SAMA