Haji Fikri, Hajah Norhayati juara Musabaqah Al-Quran

Haji Fikri, Hajah Norhayati juara Musabaqah Al-Quran

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Haji Muhd Fikri bin Haji Awang Metusin dan Hajah Norhayati binti Haji Abdul Hamid masing-masing muncul juara qari dan qariah dalam Pertandingan Musabaqah Tilawah Al-Quran antara jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini.

Sementara itu, naib juara qari disandang oleh Awang Eddy Fazlin diikuti oleh Awang Mohammad Saat di tempat ketiga, manakala itu, Dayangku Rabilatul Adawiyah menyandang gelaran naib juara qariah dan Dayangku Siti Nordiana di tempat ketiga. Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, juara qari membawa pulang piala pusingan sumbangan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.)Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Mantan Menteri Pendidikan, manakala juara qariah menerima piala pusingan sumbangan Dato Seri Setia Haji Awang Yussof bin Haji Awang Ismail, Mantan Timbalan Menteri Pendidikan, di samping masing-masing menerima sebuah piala iringan berserta wang tunai.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika mendengarkan bacaan para qari dan qariah di pertandingan itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika mendengarkan bacaan para qari dan qariah di pertandingan itu.
Salah seorang qari memperdengarkan bacaannya.
Salah seorang qari memperdengarkan bacaannya.

Seramai tujuh orang peserta, yang terdiri daripada empat qari dan tiga qariah telah menyertai pertandingan berkenaan yang turut diserikan dengan persembahan qariah undangan Hajah Siti Noor Dzuhairah binti Haji Awang Damit, yang merupakan johan qariah peringkat kebangsaan dewasa bagi tahun 2000, 2001, 2003 dan 2015.

Pertandingan bersempena Sambutan Hari Guru ke-23 tahun 2015 ini bertujuan untuk mencungkil bakat para pegawai, guru dan kakitangan di bawah Kementerian Pendidikan dalam pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran di samping untuk menghayati bacaan kalam suci Al-Quran, sekali gus memahami maksud yang terkandung dalamnya sebagai panduan hidup bersesuaian dengan tema Hari Guru iaitu Guru Pemangkin Insan Berwawasan.

ARTIKEL YANG SAMA