Haji Haslan, Dyg Zainah wakili Belait

Haji Haslan, Dyg Zainah wakili Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 12 Okt – Haji Haslan bin Haji Shahbudin dan Dayang Zainah binti Haji Daud, kedua-duanya mewakili Masjid Muhammad Jamalul Alam, masing-masing diumumkan sebagai juara qari dan qariah Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Zon dan Daerah bagi Tahun 1436H/2015M bagi Daerah Belait yang diadakan di Masjid Kampung Sungai Liang, hari ini.

Dalam kategori qari, naib johan disandang oleh Awang Salihen bin Haji Kassim dan diikuti oleh Awang Mohd Ikhwan bin Irwandy, kedua-duanya mewakili Masjid Kampung Sungai Liang.

Sementara itu, naib johan kategori qariah ialah Hajah Lateefah binti Abdullah yang mewakili Masjid RPN Kampung Pandan dan Hajah Masnah binti Abdul Rahman dari Masjid Muhammad Jamalul Alam Kuala Belait menduduki tempat ketiga.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, yang juga Ketua Kampung Lumut 1, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad.

Salah seorang peserta lelaki Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Zon dan Daerah bagi Tahun 1436H/2015M bagi Daerah Belait.
Salah seorang peserta lelaki Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Zon dan Daerah bagi Tahun 1436H/2015M bagi Daerah Belait.

Turut hadir ialah para pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama, jemaah masjid serta penduduk kampung yang tinggal di sekitarnya.

Seramai sembilan orang peserta lelaki dan wanita telah menyertai pertandingan tersebut yang merupakan acara tahunan dikendalikan oleh Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Liang.

Ia diadakan bagi memilih wakil Daerah Belait, yang berjaya memperoleh markah 75 peratus ke atas, sekali gus memasuki peringkat suku akhir peringkat kebangsaan yang akan diadakan nanti.

Selain itu, ia juga merupakan galakan untuk menarik minat orang ramai dalam meningkatkan mutu bacaan Al-Quran, serta sebagai pendorong kepada mereka yang berbakat dalam pembacaan Al-Quran supaya dapat mengasah bakat yang ada melalui pertandingan yang diadakan.

ARTIKEL YANG SAMA