Hak Piala Dunia Rusia tidak ditarik

Hak Piala Dunia Rusia tidak ditarik

MOSCOW, 10 Julai (Bernama) – Tiada sebarang ancaman Rusia ditarik balik hak sebagai hos Piala Dunia berikutan perubahan pucuk pimpinan FIFA atau siasatan FBI mengenai rasuah dalam badan induk bola sepak dunia, kata Menteri Sukan Rusia, Vitaly Mutko kelmarin.

Namun Mutko, ahli jawatankuasa eksekutif FIFA, menjelaskan perubahan drastik diperlukan di “pertubuhan bertaraf dunia” selain “perlu meraih semula keyakinan peminat.”

Bercakap kepada sekumpulan wartawan asing yang berkumpul di Moscow bagi permulaan jelajah 11 bandar raya Piala Dunia, Mutko berkata: “Perubahan dalam pengurusan FIFA tidak akan mengubah apa-apa.”

Beralih kepada pusingan akhir 2018 yang akan dihos oleh negaranya beliau berkata: “Piala Dunia bukannya milik Rusia, ia milik FIFA tapi Rusia akan menganjurkan Piala Dunia seperti dirancang.

“Tiada ancaman buat kami di sini. Piala Dunia adalah permata yang perlu dihargai.”

FBI menjalankan siasatan menyeluruh mengenai dakwaan rasuah FIFA dalam tempoh hampir dua dekad manakala pihak berkuasa Switzerland turut menyiasat mengenai proses undian yang menyaksikan Rusia menang hak penganjuran edisi berikutnya manakala Qatar pada 2022.

Bagaimanapun Mutko, yang juga ketua pegawai eksekutif jawatankuasa penganjuran 2018 dan berkali-kali menyatakan bidaan negaranya bersih, menempelak siasatan itu.

“Sebagai Menteri Sukan Rusia, saya boleh mencadangkan kepada FBI supaya menyiasat persekutuan lain,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut. “Ada 209 negara dalam FIFA.”

Rusia menjadi sekutu utama Presiden FIFA, Sepp Blatter selama ini dan menyokongnya ketika 17 tahun bertugas sebagai presiden dan Mutko memuji warga Switzerland berusia 79 tahun yang melepaskan jawatan berikutan siasatan itu.

ARTIKEL YANG SAMA