Hakim sekat aset lombong Vale, BHP Billiton

Hakim sekat aset lombong Vale, BHP Billiton

BRASILIA, 20 Dis (AFP) – Seorang hakim telah menyekat aset syarikat perlombongan Brazil Vale dan BHP Billiton untuk memastikan mereka membayar pampasan untuk empangan bahan buangan toksik yang pecah yang membunuh 17 orang pada November.

Syarikat perlombongan Brazil dan Anglo-Australia itu adalah pemilik bersama Samarco, sebuah firma yang mengendali empangan amang bijih besi yang pecah di negeri Minas Gerais pada 5 November.

Kemalangan itu melepaskan bahan buangan toksik yang menimbus sebuah kampung berhampiran, seterusnya menderu ke Doce, sungai kedua paling penting di Brazil, memusnahkan flora dan fauna sejauh kira-kira 800 kilometer.

Lumpur tersebut sampai ke Atlantik 17 hari kemudian, di mana ia mengotorkan pantai dan memusnahkan kehidupan laut. Kemalangan itu dianggap bencana alam sekitar paling teruk di Brazil.

Brazil merancang menyaman Vale dan BHP Billiton AS$5.2 bilion untuk kos pembersihan dan kerosakan berkaitan dengan bencana itu.