Hakimi tekad tebus kesilapan, raih pingat emas di Singapura

Hakimi tekad tebus kesilapan, raih pingat emas di Singapura

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) – Atlet lompat kijang kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail berazam untuk tidak mengulangi kesilapan serupa pada Sukan SEA Singapura bulan depan, bagi meraih pingat emas yang gagal diperolehnya di Myanmar dua tahun lepas.

Muhammad Hakimi berkata pada Sukan SEA Myanmar, beliau cepat berpuas hati dengan lompatannya selepas berjaya mendahului peserta lain, dan tidak terus memberi saingan.

Atlet berasal dari Felda Rentam, Pahang, itu sekadar meraih perak setelah melakukan lompatan sejauh 16.44m, namun gagal pada dua lompatan terakhir menyebabkan pingat emas menjadi milik Van Hung Nguyen dari Vietnam dengan lompatan sejauh 16.67m.

“Saya sangat menyesal dan masih terasa sehingga ke hari ini. Sekarang, saya perlu belajar daripada kesilapan lepas. Saya akan lebih berhati-hati pada aksi kali ini kerana tidak mahu kecewa lagi.

“Saya akan lebih berwaspada dengan peserta lain terutama atlet dari Thailand dan Vietnam,” katanya kepada Bernama hari ini.

Muhammad Hakimi berkata beliau lebih bersedia untuk penampilan kali ini dan berazam untuk memperbaharui rekod kebangsaan yang diciptanya pada Sukan SEA Myanmar.

“Saya harap mampu melakukan lompatan lebih baik dengan berbekalkan pengalaman mengikuti latihan persiapan selama sebulan di Australia pada awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata banyak perkara baharu yang telah dipelajarinya terutama dari segi teknik lompatan sepanjang berada di Australia.

Anak didik jurulatih dari Rusia, Victor Sotnikov itu berkata beliau telah bersedia sepenuhnya baik dari segi mental mahupun fizikal untuk menggalas cabaran negara di Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA