Hakis sikap bergantung kepada kerajaan

Hakis sikap bergantung kepada kerajaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Golongan belia selaku ejen perubahan dan peneraju negara di masa hadapan harus menghakis sikap terlalu bergantung kepada pihak kerajaan sahaja, sebaliknya perlu mempunyai semangat keusahawanan yang tinggi dan inovatif dalam menggunakan sepenuhnya bakat serta kemahiran mereka untuk meningkatkan daya saing mereka.

Para belia khususnya lepasan Universiti Brunei Darussalam (UBD) tidak seharusnya terus berpeluk-tubuh apabila belum mempunyai atau mendapat pekerjaan dan hanya mengharapkan pekerjaan di sektor kerajaan, kata Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan dan Naib Canselor UBD, Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Katanya, mereka mempunyai kebolehan untuk berusaha bukan sahaja mencari pekerjaan tetapi memajukan diri mereka dengan berkecimpung dalam dunia keusahawanan.

“Perkara itu amat penting kerana sumbangan mereka setentunya dapat membantu kepada pembangunan negara terutama dalam harapan usaha untuk mempelbagaikan ekonomi dari terus bergantung pada sektor minyak dan gas serta untuk meningkatkan produktiviti,” tegas beliau ketika menyampaikan ucapan khas bagi mengalu-alukan kemasukan pelajar baru UBD.

“Kemasukan ke alam universiti merupakan proses transisi. Bukan bermaksud transisi daripada alam persekolahan kepada alam universiti, tetapi ia lebih kepada transisi daya fikir dan minda,” tambah Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain dalam ucapan khas yang disampaikan sempena Minggu Pelajar Baru UBD bagi Pengambilan 2015 yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, hari ini.

Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain menekankan bahawa belia selaku ejen perubahan dan sumber aset terpenting bagi negara tidak harus mengamalkan sikap terlalu kebergantungan kepada kerajaan sahaja tetapi berani untuk meneroka peluang yang baru termasuk berkecimpung di dalam dunia keusahawanan.
Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain menekankan bahawa belia selaku ejen perubahan dan sumber aset terpenting bagi negara tidak harus mengamalkan sikap terlalu kebergantungan kepada kerajaan sahaja tetapi berani untuk meneroka peluang yang baru termasuk berkecimpung di dalam dunia keusahawanan.

Menurut beliau, pembelajaran selama empat tahun di UBD, akan memupuk mereka untuk menjadi individu yang proaktif, berdaya tahan, berfikiran terbuka dan peka terhadap perkara-perkara semasa serta memiliki sikap siap sedia dalam bertindak balas kepada apa jua cabaran yang mendatang.

“Semua ini adalah sikap umum yang perlu ada pada setiap individu, tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana cara memikul dan menanainya bersesuaian dengan cabaran zaman akan datang yang tidak menentu dengan keadaan dunia yang ada pada masa ini.”

Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain turut menyeru kepada para mahasiswa dan mahasiswi supaya dapat memupuk sifat dan nilai keusahawanan, kepimpinan, inovasi dan kesedaran terhadap persekitaran yang diterapkan dalam kurikulum GenNEXT.

“Adalah menjadi hasrat kami agar program GenNEXT ini akan melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dan menjana pemikiran yang membawa perubahan transformasional atau transformational change yang relevan dan diperlukan bagi perkembangan ekonomi negara kita, iaitu dalam mempelbagaikan sumber ekonomi negara.”

“UBD bukan saja berhasrat untuk melahirkan graduan yang celik ilmu, malah juga berpemikiran intelek. Berpemikiran intelek ini sangat besar maknanya bagi saya, berpemikiran intelek samalah ertinya juga berfikiran kritis dan serius dalam memajukan sesuatu.

“Celik ilmu itu, tidak cukup bagi seseorang digelar sebagai intelek jika ilmu yang diperoleh mereka tidak dimanfaatkan dan digunakan bagi pembangunan negara dan insan.

“Saya berkata tentang soal sumbangan ilmuwan kepada negara kerana negara memerlukan mereka yang pemikiran intelek untuk menerajui apa yang kita ada sekarang. Secara ringkasnya, mereka yang berpemikiran intelek ini akan sentiasa ingin menyumbang dan melihat kemajuan dan perkembangan negara.”

Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain berharap para mahasiswa dan mahasiswi UBD untuk terus berfikiran inovatif dan ke hadapan kerana ekonomi abad ke-21 memerlukan mereka yang mempunyai idea dan ciptaan yang baru.

Mengimbas kembali beberapa kejayaan yang dicapai oleh UBD, beliau berkata pada awal 2015, pasukan UBD telah berjaya untuk menghasilkan kenderaan pertama yang menggunakan kuasa hidrogen di Brunei dan pasukan itu berjaya meraih tempat ketiga dalam Maraton Eco Shell di Filipina.

Di samping itu, kumpulan graduan penyelidikan UBD juga menemui kaedah bagi menghasilkan kuasa elektrik dengan menggunakan pigmen daripada tumbuhan tropika dan kulit buah.

Beliau berkata bahawa menjadi inovatif bukannya hanya terhad kepada idea dan ciptaan semata-mata tetapi juga mempunyai pemikiran kreatif yang berwawasan di mana idea-idea itu dapat digunakan untuk membangunkan industri baru yang boleh menerajui ekonomi daripada terus bergantung pada minyak dan gas.

Pada masa yang sama, beliau menyarankan supaya para mahasiswa dan mahasiswi untuk menerapkan amalan pendidikan sepanjang zaman di mana pendidikan itu tidak hanya terhad kepada pendidikan formal tetapi tidak kurang pentingnya pendidikan di dunia sebenar yang akan membina perwatakan, identiti dan juga masa depan mereka selaku pemimpin dan ejen perubahan bagi bangsa dan negara.

Beliau berkata bahawa seseorang yang berhenti menimba ilmu itu adalah seseorang yang tidak berpendidikan dan oleh itu adalah amat penting bagi mempunyai keinginan dan amalan pendidikan sepanjang hayat.

ARTIKEL YANG SAMA