Hakisan di lereng Gunung Kinabalu dijangka berlaku

Hakisan di lereng Gunung Kinabalu dijangka berlaku

KOTA KINABALU, 18 Jun (Bernama) – Hujan diramalkan berterusan sepanjang Ramadan ini akan menyebabkan hakisan di lereng Gunung Kinabalu dan membawa batuan, tanah dan kayu mengalir ke lembah, lurah dan sungai, kata Ketua Bahagian Sumber Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Sabah Jontih Enggihon.

Beliau berkata hujan berterusan akan lebih memburukkan keadaan terutamanya di kawasan yang berhampiran sungai.

“Hakisan itu akan membentuk aliran lumpur yang membawa beribu tan tanah dan batu berat yang bergolek akan menghakis tebing dan dasar sungai seperti yang berlaku di Sungai Liwagu dan Mesilou,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Jontih berkata penduduk di sepanjang sungai terdedah kepada bahaya akibat hakisan tebing kesan daripada hentakan kuat daripada serpihan yang dibawa oleh banjir lumpur.

Menurutnya, keadaan itu adalah fasa selepas gempa yang berlaku dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa sekiranya tindakan wajar tidak diambil.

Namun, beliau berkata Jawatankuasa Bencana Daerah bersama agensi-agensi berkaitan telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih selamat bagi mengelak daripada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Semalam, Jabatan Meteorologi meramalkan Sabah akan mengalami kekerapan hujan sepanjang Ramadan ini yang akan menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat.

Suhu di Sabah sepanjang Ramadan juga diramalkan 31 hingga 33 darjah Celsius dengan kadar taburan hujan antara 200mm hingga 300mm.