Halep atasi Keys raih gelaran Montreal

Halep atasi Keys raih gelaran Montreal

MONTREAL, 1 Ogos – Simona Halep menewaskan Madison Keys 7-6 (7/2), 6-3 awal pagi tadi untuk memenangi kejohanan WTA Montreal serta meraih mahkota perseorangan buat kali ke-14 dalam kariernya.

Pemain nombor lima dunia dari Romania itu kini menang 23 daripada 26 perlawanan terakhirnya, rentetan kejuaraan dimilikinya termasuk gelaran di Madrid, Bucharest dan kini Montreal. “Ia bukanlah permainan tenis terbaik saya kerana saya tidak boleh bermain yang terbaik.

Saya tidak boleh memukul bola dengan baik kerana dia sangat kuat. “Saya hanya cuba memberikan bola jauh daripadanya dan membuatkan dia berlari. “Saya rasa saya melakukannya dengan agak baik dan dia terlepas pukulan. Adalah sukar buat saya mencipta kemenangan hari ini,” kata Halep.

Simona Halep memegang trofi selepas menewaskan Madison Keys di Stadium Uniprix  Ahad lalu di Montreal, Quebec, Kanada. – AFP
Simona Halep memegang trofi selepas menewaskan Madison Keys di Stadium Uniprix Ahad lalu di Montreal, Quebec, Kanada. – AFP

Masih ada tugasan belum diselesaikan Halep dalam kejohanan ini selepas mara ke final buat tahun kedua berturut-turut.

Halep gagal mencipta kejayaan tahun lalu selepas sakit pada set ketiga dan menyerahkan gelaran itu kepada pemain bukan pilihan, Belinda Bencic.

Kemenangan di Montreal bukanlah sesuatu yang mudah apabila dia hanya mencipta empat kemenangan berdepan Keys, pemain Amerika Syarikat yang bermain kali pertama dalam final gelanggang keras. – AFP