Haluan diubah – penumpang naik angin

Haluan diubah – penumpang naik angin

LONDON, 22 Jun (Agensi) – Pihak berkuasa memberkas lelaki berusia 42 tahun kerana membahayakan keselamatan sebuah pesawat udara selepas penerbangan United Airlines dari Rome ke Chicago terpaksa dilencongkan ke Ireland Utara.

Pasukan Konstabel Lapangan Terbang Antarabangsa Belfast berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa lelaki itu yang memiliki dua kewarganegaraan, Itali dan Amerika, juga dijangka akan didakwa melakukan gangguan di dalam pesawat udara dan serangan biasa. Para pegawai lapangan terbang tidak mengulas lebih lanjut tentang apa yang telah dilakukan oleh penumpang itu dan tidak mendedahkan butiran peribadi lain tentangnya.

Penerbangan UA971, mendarat Sabtu lalu untuk ‘menurunkan’ penumpang yang membuat gangguan. Bagaimanapun memandangkan krew penerbangan telah melebihi had bilangan waktu kerja yang dibenarkan, 269 orang penumpang dan 14 anggota krew terpaksa menunggu sehingga Ahad untuk meneruskan penerbangan mereka.

Lebih teruk lagi, bilik hotel yang ada tidak mencukupi. Lapangan terbang Belfast memanggil kakitangan tambahan, mengagihkan air dan selimut dan membuka dua bilik di lapangan terbang untuk para penumpang, kebanyakan mereka yang terpaksa bermalam tidur di atas lantai.

Para pegawai lapangan terbang menyifatkan para penumpang sebagai ‘begitu tenang dan memahami.’

“Kami memahami ketidakselesaan yang dialami oleh para penumpang dan kami akan membayar balik penerbangan mereka dari Rome ke Chicago dan juga memberi pilihan sijil perjalanan bagi program Mileage Plus loyalty kami.” United berkata dalam satu kenyataan. Para pegawai lapangan terbang berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa lelaki itu masih ditahan dan dijangka dihadapkan ke mahkamah Majistret Coleraine hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA