Hamas amaran berulang keganasan

Hamas amaran berulang keganasan

BANDAR GAZA, Wilayah Palestin, 6 Ogos – Pergerakan Hamas semalam memberi amaran keganasan akan berulang kecuali Israel menarik balik kepungannya ke atas Gaza, menurut pergerakan itu sempena majlis menandakan tamatnya kem musim panas ala tentera bagi 25,000 warga Gaza.

“Hari ini, mesej kami kepada Israel ialah amat jelas. Kami tidak akan menerima pengepungan atau pendudukan,” kata Mahmud Zahar, pemimpin kanan Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza serta sudah membuat hubungan secara tidak langsung dengan Israel berhubung perjanjian jangka panjang sebagai imbalan bagi penamatan pengepungan selama sembilan tahun.

“Tamatkan pengepungan kerana kami tidak akan berupaya untuk menahan mereka yang mahu mempertahankan wilayah mereka daripada mereka yang telah memusnahkan kediaman mereka dan membunuh anak-anak mereka,” katanya.

Briged Ezzedine al-Qassam, sayap tentera Hamas, berkata para peserta yang menghabiskan masa dua minggu “dilatih teknik ketenteraan dan menembak menggunakan peluru hidup” selain “bantuan kecemasan dan teknik menyelamat.”

Hamas sudah lama menjalankan kem musim panas yang memberi tumpuan kepada pengajian Al-Quran dan aktiviti kesukanan di Gaza, tetapi sepanjang musim sejuk briged berkenaan memberikan latihan ketenteraan kepada peserta berusia 15 sehingga 20 tahun.

Para aktivis hak asai manusia mengutuknya sebagai pelanggaran hak asasi kanak-kanak.

Salah seorang peserta, Moatassem, berusia 15 tahun berkata beliau mengambil bahagian kerana ingin mempertahankan Gaza. “Kami akan semakin besar dan berupaya mempertahankan diri kami dan rakyat kami,” katanya.

Perang 50 hari pada Julai-Ogos 2014 mengorbankan kira-kira 2,200 warga Palestin dan 73 warga Israel, serta memusnahkan berpuluh-puluh ribu rumah di wilayah pantai tersebut. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA