Hamas, Fatah capai persetujuan damai

GAZA, 12 Okt – Ketua pergerakan Islam Hamas, Ismail Haniyeh pada Khamis mengumumkan bahawa pihaknya dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas dari parti Fatah telah mencapai satu persetujuan damai di Kaherah, lapor agensi berita China Xinhua.

Perkara itu dimaklumkan pembantu Haniyeh, Taher al-Nouno, dalam satu mesej teks yang dihantar kepada pemberita.

Bagaimanapun, Haniyeh hanya mengumumkan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai satu persetujuan tanpa memberikan butiran lanjut.

Sementara itu, Osama Qawasmi, jurucakap Fatah di Tebing Barat, dalam satu kenyataan media yang dihantar melalui e-mel menyebut kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan perdamaian dalam rundingan tajaan Mesir itu pada awal pagi Khamis.

Beliau berkata pemimpin kedua-dua pergerakan, yang telah mengadakan dialog intensif di Kaherah selama tiga hari, akan mengumumkan butiran persetujuan itu dalam satu sidang akhbar bersama pada lewat Khamis. – Bernama

Palestin mengibarkan bendera Mesir dan Palestin ketika mereka berkumpul di Gaza City untuk meraikan selepas puak-puak Palestin yang bersaing Hamas dan Fatah mencapai persetujuan mengakhiri perpecahan berabad-abad selepas perjanjian yang dimeterai oleh Mesir pada 12 Oktober 2017. – AFP