Hamas tidak restui IS – Meshaal

Hamas tidak restui IS – Meshaal

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) – Hamas tidak merestui kumpulan militan IS, juga dikenali sebagai Daesh, serta tindakan ekstremisnya, kata ketua Biro Politik (Politburo) pergerakan pejuang Palestin itu, Khalid Meshaal.

Sambil meminta agar Hamas tidak disamakan dengan IS, Meshaal berkata perjuangan rakyat Palestin berbeza sepenuhnya daripada agenda kumpulan pelampau itu.

“Ada perbezaan besar antara keganasan dengan perjuangan. Keganasan yang melibatkan pembunuhan secara membuta tuli, tanpa mengira keimanan seseorang, adalah berbeza sepenuhnya dengan perjuangan di Palestin.

“Keganasan seperti itu perlu dikutuk dan kami tidak menerimanya. Kami menganggap perjuangan di tanah air kami sebagai hak semula jadi rakyat kami,” katanya selepas menyampaikan ceramah dalam siri syarahan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), di sini semalam.

Ceramah itu dianjurkan sebagai acara sampingan sempena kunjungan Meshaal ke Malaysia untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2015 hingga 12 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

ARTIKEL YANG SAMA