Hamburg kecewakan Dortmund, menang 3-1

Hamburg kecewakan Dortmund, menang 3-1

BERLIN, 22 Nov (AFP) – Hamburg menyekat harapan Borussia Dortmund untuk meraih kejuaraan liga selepas mencatat kemenangan 3-1 kelmarin dalam saingan Bundesliga tatkala perlawanan bermula lewat 15 minit untuk langkah-langkah keselamatan berikutan serangan pengganas di Paris baru-baru ini.

Gol yang disumbangkan Pierre-Michel Lasogga, Lewis Holtby dan jaringan sendiri Mats Hummel membolehkan Hamburg meraih tiga mata serta melonjak ke tangga kelapan liga, manakala Dortmund mungkin akan ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Bayern Munich pada hujung minggu ini.

Sementara itu, jurulatih Hamburg, Bruno Labbadia gembira dengan prestasi pasukannya

“Kami tidak membenarkan mereka mara ke depan dan kekal dengan taktik asal kami. Ia bukan mudah untuk berdepan Dortmund, mereka adalah pasukan yang hebat,” katanya. Penjaga gol Dortmund, Roman Burki berkata, prestasi yang ditunjukkan pasukannya dalam perlawanan berkenaan adalah yang paling teruk sepanjang kempen musim ini.

Pemain pertahanan Hamburg, Matthias Ostrzolek (depan) dan penyerang Dortmund, Marco Reus bersaing mendapatkan bola pada perlawanan divisyen satu Bundesliga di Hamburg, bahagian utara Jerman. – AFP
Pemain pertahanan Hamburg, Matthias Ostrzolek (depan) dan penyerang Dortmund, Marco Reus bersaing mendapatkan bola pada perlawanan divisyen satu Bundesliga di Hamburg, bahagian utara Jerman. – AFP

“Kami langsung tidak agresif sebagai sebuah pasukan. Ini adalah aksi terburuk pernah kami pamerkan tahun ini dan kami akan lihat semula bahagian mana yang harus diperbaiki.

“Sebelum perlawanan ini kami mencatat tujuh kemenangan berturut-turut, apa yang kami harus lakukan ialah cuba memberikan aksi lebih baik selepas ini,” kata Burki.

Perlawanan yang berlangsung kelmarin bermula lewat di atas faktor-faktor keselamatan, malah tiga hari selepas serangan bom menyebabkan perlawanan persahabatan antara Jerman dan Belanda di Hanover terpaksa dibatalkan.

Keadaan di luar Hamburg’s Volksparkstadion sesak teruk, selepas mereka memperketatkan kawalan keselamatan berikutan tragedi di Paris yang menyebabkan 130 orang terbunuh, perlawanan yang sepatutnya berlangsung 7.30 malam (waktu tempatan) terpaksa bermula lewat. Kedua-dua pasukan memakai lilitan hitam dan 57,000 penyokong bertafakur selama seminit sebelum perlawanan bermula untuk memperingati mangsa di Paris.