Hamilton akan terus buru Rosberg

Hamilton akan terus buru Rosberg

SUZUKA, 10 Okt – Bos Mercedes, Toto Wolff, menegaskan betapa Lewis Hamilton akan bertarung habis-habisan dalam pemburuan gelaran Formula Satu (F1) selepas Nico Rosberg sekali lagi mengatasi rakan pasukannya itu di Jepun, semalam.

Rosberg melebarkan penguasaan kepada 33 mata ke atas rakan pasukannya dari Britain itu tatkala perlumbaan musim ini hanya berbaki empat pusingan saja lagi. Namun dengan harapan Hamilton untuk mengekalkan gelaran makin terancam, Wolff menjangkakan kejutan daripada juara dunia tiga kali itu.

“Ia masih belum berakhir,” kata Wolff yang mengecap kejayaan ketiga Mercedes bagi kategori pengeluar di Jepun itu.

“Lewis akan kembali dengan kuat, kadangkala dia memerlukan musuh. Itu adalah bagaimana dia berfungsi.”

Rosberg menguasai minggu perlumbaan di Suzuka manakala Hamilton pula tampak seperti semakin hilang cengkaman dalam perlumbaan kejuaraan.

Aksi Hamilton ketika meraikan kejayaannya berada di tempat ketiga semasa perlumbaan Grand Prix di Litar Suzuka, Jepun. – AFP
Aksi Hamilton ketika meraikan kejayaannya berada di tempat ketiga semasa perlumbaan Grand Prix di Litar Suzuka, Jepun. – AFP

Pemandu Britain itu memberi bayangan kemungkinan sabotaj berlaku terhadap enjinnya, sekali gus merosakkan impiannya meraih kemenangan di Malaysia pada minggu sebelum itu, yang mana sudah tentu mengecewakan pasukan Mercedes.

Tingkah laku Hamilton memuncak di Jepun, di mana dia kembali berada dalam persaingan untuk menamatkan perlumbaan di tangga ketiga selepas berdepan permulaan teruk yang menyaksikan dirinya jatuh di tangga kelapan. Podium ke-100 bagaikan satu sagu hati buat Hamilton, di mana kejayaannya itu dilitupi dengan sembilan kemenangan Rosberg tahun ini.

Namun, Wolff jelas memberi sokongan penuh kepada Hamilton kerana kembali menemui sentuhannya dan terus memberi saingan sengit kepada Rosberg.

“Lewis akan berfungsi dalam keadaan terbaik apabila dia berada dalam tekanan dan dia mempunyai sasaran,” katanya.

Tanpa ragu, ini akan menjadi satu persaingan sengit. Ia akan berlanjutan sehingga penghujung.

“Apapun, selepas perlumbaan adalah tidak elok untuk menuding jari kerana ia amat memedihkan,” katanya yang tidak sabar untuk menyaksikan perlumbaan seterusnya di Austin, Texas dalam tempoh dua minggu lagi.

“Kami perlu bertenang dan membongkar apakah yang sebenarnya berlaku. Penekanan utama kami adalah untuk membantu Lewis bangkit semula. Kami mempunyai 10 hari sebelum Austin, ia tidak perlu tergesa-gesa seperti minggu lalu.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA