Hamilton bantah cadangan FIA

Hamilton bantah cadangan FIA

BARCELONA, 25 Feb (Agensi) – Juara dunia F1, Lewis Hamilton membantah cadangan penganjur perlumbaan yang mahu memperkenalkan kereta lumba yang lebih berat pada perlumbaan musim depan tanpa merujuk kepada pelumba.

Persekutuan Perlumbaan Antarabangsa (FIA) mengeluarkan senarai cadangan perubahan kereta lumba F1 bagi musim 2017 semalam dengan membabitkan serta mengemukakan cadangan terhadap tambahan berat kereta kepada 722kg berbanding berat kenderaan F1 yang asal ketika ini hanya 702kg.

Menurut FIA, cadangan yang dikemukan dengan menambah berat kereta itu dilakukan selaras usaha oleh pihaknya bagi menaikkan semula kehangatan perlumbaan F1 dengan kereta yang lebih pantas, bunyi enjin yang lebih kuat dan reka bentuk kereta lumba lebih besar.

“Saya tidak setuju dengan perubahan yang sudah banyak kali dilakukan sejak beberapa tahun ini,’’ kata Hamilton kepada media selepas sesi ujian pra musim ketiga, di sini, semalam.

“Saya rasa pendapat dan pandangan pemandu perlu diambil kira.

Hamilton ketika sesi ujian ketiga menjelang musim yang akan datang di Catalunya, Barcelona. – Reuters
Hamilton ketika sesi ujian ketiga menjelang musim yang akan datang di Catalunya, Barcelona. – Reuters

“Kamilah yang memandu dan merasai setiap perubahan kereta lumba, kamilah yang lebih faham setiap jenis perubahan yang perlu dilakukan,’’ katanya.

Hamilton berkata, kereta lumba sedia ada sudah memang terlalu berat dan wajar diubahsuai lagi supaya ia menjadi lebih ringan supaya ia mampu memecut lebih pantas.

Sambil memberi contoh, pelumba Britain berusia 31 tahun itu mendakwa beliau memandu kereta ringan seberat kira-kira 600kg ketika menyertai McLaren pada 2007, iaitu sebelum era V6 turbo hybrid diperkenalkan musim lalu.

“Saya tahu (pengarah perlumbaan) Charlie (Whiting) sedia mendengar pandangan kami sebagai pelumba mengenai perubahan berkenaan tapi mereka yang melaksanakan perubahan itu langsung tiada kena mengena dengan kami,’’ katanya.

Perlumbaan pertama musim ini dijadualkan berlangsung di GP Australia pada 20 Mac dengan menyaksikan Hamilton berazam menjadi pemandu British pertama menang empat gelaran dunia.

ARTIKEL YANG SAMA