Hamilton cuba gagalkan kejuaraan Rosberg

Hamilton cuba gagalkan kejuaraan Rosberg

ABU DHABI, 28 Nov – Nico Rosberg menjulang gelaran dunia sulungnya semalam setelah menamatkan perlumbaan di tempat kedua di Grand Prix (GP) Abu Dhabi meskipun Lewis Hamilton tidak mengendahkan arahan-arahan pasukan dalam matlamatnya untuk mematahkan usaha pemandu Jerman itu.

Rosberg, 31, menamatkan musim perlumbaan terpanjang dalam sejarah sukan itu dengan tekanan di kedudukan kedua perlumbaan selepas pendahulu perlumbaan Hamilton memperlahankan jenteranya untuk menyukarkan Rosberg menamatkan perlumbaan.

Hamilton memenangi perlumbaannya ke-10 musim ini, kemenangan terbanyak oleh mana-mana pemandu untuk tidak memenangi kejuaraan dan kemenangan ke-53 dalam kariernya, namun tindakannya mengecewakan pasukan dan teman pasukannya pada lap-lap terakhir perlumbaan.

Lap terakhirnya sembilan saat lebih perlahan daripada catatan masa lap yang dicatatnya sebelum itu dan secara jelas sengaja membuatkan Rosberg dalam posisi bahaya apabila Sebastian Vettel mula mendekati dalam jentera Ferrari.

Hamilton mengabaikan dua arahan daripada pasukan untuk meningkatkan kelajuannya di kedudukan depan, namun tidak berupaya untuk mencipta situasi di mana jentera Rosberg boleh dipintas.

Meskipun cuba disabotaj oleh Hamilton, Rosberg kekal mampu menamatkan perlumbaan sekali gus menjadi juara dunia Formula Satu musim ini. – AFP
Meskipun cuba disabotaj oleh Hamilton, Rosberg kekal mampu menamatkan perlumbaan sekali gus menjadi juara dunia Formula Satu musim ini. – AFP

Rosberg menyertai kelab eksklusif untuk menjadi anak bekas juara yang kedua untuk merangkul kejuaraan itu, ayahnya Keke memenangi kejohanan itu 34 tahun lepas bersama pasukan Williams.

Pemandu Britain Damon Hill melakukan seumpamanya apabila dia memenangi kejuaraan itu bersama Williams, berikutan kejayaan ayahnya Graham pada 1996.

Rosberg juga menjadi juara ketiga dari Jerman.

Ketegangan amat ketara apabila para pemandu naik ke atas podium selepas perlumbaan itu di mana Vettel menamatkan kedudukan di tempat ketiga di depan Max Verstappen dari Belanda dan rakan sepasukannya Daniel Ricciardo.

Rosberg meraikan kemenangan itu dengan memberikan pelukan kuat kepada Bos F1, Bernie Ecclestone, mengangkat orang yang berusia 80an itu tinggi ke udara apabila Hamilton secara murung merenungnya dari bawah.

Rosberg menceritakan saat ketegangan pada lap-lap terakhir, berkata: “Dengan mereka (Vettel dan Verstappen) mula mengejar saya, pengakhiran itu bukanlah sesuatu yang paling menyeronokkan.

“Saya begitu bangga untuk melakukan perkara sama seperti mana yang dicapai oleh ayah saya.”

Di podium sifat baik Hamilton mula kembali dan memberikan bekas rakan go-kart remajanya itu jabat tangan dan satu pelukan.

“Tahniah diucapkan kepada Nico, satu aksi yang bagus,” ujar Hamilton. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA