Hamilton dihalang tonton final Wimbledon

Hamilton dihalang tonton final Wimbledon

LONDON, 14 Julai (Reuters) – Walaupun memiliki status superstar di negaranya, namun itu tidak menghalang penganjur kejohanan tenis Wimbledon daripada melarang juara Formula Satu dunia Britain, Lewis Hamilton daripada menonton final perseorangan lelaki di antara Novak Djokovic dan Roger Federer kelmarin, gara-gara gagal mematuhi kod etika berpakaian di Royal Box (tempat duduk orang kenamaan).

Hamilton, 30, hadir dengan memakai kemeja bercorak flora dan bertopi, namun dia tidak mengenakan sebarang kot atau bertali leher seperti yang disyaratkan untuk duduk bersama tetamu kehormat lain di Royal Box Centre Court.

“Akibat salah faham berkaitan etika berpakaian, Lewis sangat kecewa kerana terlepas peluang menyaksikan perlawanan final,” kata jurucakap Hamilton dalam satu kenyataan.

Jurucakap Wimbledon berkata, mereka tidak boleh membuat sebarang ulasan bagi pihak tetamu, tetapi mengesahkan, Royal Box memerlukan setiap individu lelaki memakai kot, tali leher dan kasut formal.

“Kalau dia (Hamilton) tidak mematuhi etika berpakaian yang ditetapkan, maka kami tidak boleh membenarkan dia masuk, namun kami tidak boleh mengeluarkan komen bagi pihak tetamu kami.

Hamilton dihalang daripada menonton final perseorangan lelaki di antara Djokovic dan Federer kelmarin, gara-gara gagal mematuhi kod etika berpakaian. – Reuters
Hamilton dihalang daripada menonton final perseorangan lelaki di antara Djokovic dan Federer kelmarin, gara-gara gagal mematuhi kod etika berpakaian. – Reuters

“Jika dia datang tanpa kot, tali leher atau kasut formal, dia hanya mempunyai dua pilihan…tidak dapat berada di tempat duduk yang sepatutnya atau pergi ke tempat duduk lain, yang mana kod etika berpakaian sebegitu tidak diperlukan,” kata jurucakap berkenaan.

Sehari sebelum perlawanan tersebut, Hamilton berkongsi rasa teruja kerana dijemput untuk duduk di Royal Box bersama tetamu kehormat lain, malah pemandu pasukan Mercedes itu turut memuat naik kad jemputan yang diterima di laman sosial Instagram.

Antara tetamu kenamaan yang menyaksikan perlawanan itu ialah bintang filem Britain Benedict Cumberbatch, Kate Winslet dan Hugh Grant. Turut hadir aktor Hollywood, Bradley Cooper.