Hamilton dikenakan penalti di GP China

Hamilton dikenakan penalti di GP China

SHANGHAI, 14 April (Reuters) – Pemegang juara dunia Formula Satu, Lewis Hamilton dikenakan hukuman penalti lima grid perlumbaan di Grand Prix China keranan penukaran kotak gear, menurut pasukannya Mercedes, hari ini.

“Minggu ini akan menjadi sukar,” kata Hamilton ketika ditemui pada majlis bertemu peminat di Lapangan Terbang Shanghai.

“Saya akan memulakan perlumbaan dengan penalti lima grid disebabkan penukaran kotak gear namun kerana kamu semua, saya merasa lebih bertenaga, motivasi dan yakin kami mampu mendapatkan semula apa yang terlepas.”

Perkara itu kemudian disahkan oleh pasukannya menerusi laman Twitter dan merasakan Shanghai adalah lokasi terbaik untuk menjalani hukuman penalti itu selepas kotak gear jentera Hamilton rosak di Bahrain dan perlu diganti.

Lewi Hamilton menjawab persoalan daripada pihak media berikutan penalti yang dikenakan ke atasnya. – AFP
Lewi Hamilton menjawab persoalan daripada pihak media berikutan penalti yang dikenakan ke atasnya. – AFP

Setiap pelumba perlu menggunakan satu unit kotak gear bagi enam perlumbaan berturut-turut dengan penalti bermakna kedudukan petak terbaik boleh diraih Hamilton di Shanghai nanti ialah di kedudukan keenam.

Situasi itu jelas menambah kesukaran pelumba kelahiran Britain itu yang bertekad untuk bangkit meraih kemenangan pertama musim ini dan menamatkan rentetan lima kemenangan berturut-turut yang dicipta rakan sepasukannya, Nico Rosberg.

Hamilton ketika ini ketinggalan 17 mata di belakang Rosberg yang memenangi dua perlumbaan awal musim ini.

Kali terakhir Hamilton menjulang kejuaraan ialah pada Grand Prix AS tahun lepas, di mana dia juga menjulang kejuaraan dunia Formula Satu buat kali ketiga.