Hamilton dominasi F1 di Australia

Hamilton dominasi F1 di Australia

MELBOURNE, 18 Mac (AFP) – Juara dunia, Lewis Hamilton mendominasi sesi latihan bebas pembukaan bagi musim baru Formula Satu hari ini ketika rakan sepasukannya dari Mercedes, Nico Rosberg mengalami masalah awal pada Grand Prix Australia.

Hamilton hanya membuat kemunculan dalam sesi kedua dalam keadaan hujan tetapi masih lancar dengan pusingan terpantas, dalam memberikan amaran kepada pesaingnya bagi musim pembukaan hujung minggu ini.

Hamilton, yang juga mengorak langkah dalam latihan pertama, mencatatkan masa pusingan terbaik satu minit dan 38.841 saat dalam litar licin pada sebelah petang untuk membuktikan penguasaan awalnya menjelang kelayakan yang akan diadakan esok.

Tetapi Rosberg, pesaing terdekat musim lalu, mengalami masalah pada latihan kedua apabila hilang kawalan terhadap kereta Mercedes, memijak air dan terlanggar dinding pada pusingan ketujuh, merosakkan sayap depan keretanya.

Hamilton ketika memandu kereta F1, Mercedes sebelum sesi latihan F1 di Australia. – Reuters
Hamilton ketika memandu kereta F1, Mercedes sebelum sesi latihan F1 di Australia. – Reuters

Pemandu dari Jerman itu dimaklumkan melalui radio pasukan, “Berhenti Nico, hentikan kereta” sebelum dia membawa keretanya untuk berada di atas bahagian rumput pada pusingan ke-13 untuk menyelamatkan lebih banyak kerosakan.

Pasukan Mercedes mengesahkan kereta Rosberg mengalami kerosakan bahagian depan.

Dengan hujan turun menjejaskan rancangan pasukan pada awal musim baru, Hamilton memulakan di mana dia menamatkannya pada kejuaraan musim tahun lepas dengan 10 kemenangan dari 19 perlumbaan.

Pemandu dari Britain itu kekal dalam garaj pasukan sehingga lewat sesi kedua sebelum mencatatkan masa terpantas pada pusingan pertamanya.

Ia sudah cukup untuk mencatatkan 0.467 saat mengatasi Nico Hulkenberg dari Jerman dalam Force India dan Kimi Raikkonen dari Ferrari ketika hujan menjadikan keadaan pemanduan lebih berbahaya.