Hamilton harap litar Montreal sempurna

Hamilton harap litar Montreal sempurna

MONTREAL, 10 Jun – Lewis Hamilton akan memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Kanada, hujung minggu ini selaku pilihan utama, namun juara dunia Formula Satu (F1) tiga kali itu tetap bimbang mengenai keadaan litar yang berpotensi mempunyai lubang.

Pelumba pasukan Mercedes AMG PETRONAS itu sudah memenangi perlumbaan di Litar Gilles Villeneuve sebanyak empat kali termasuk tahun lalu ketika rakan sepasukannya yang juga pendahulu kejuaraan, Nico Rosberg belum pernah merasai kemenangan di sini.

Kemenangan pertama Hamilton di Monaco, dua minggu lalu menamatkan rentetan persembahan buruk yang ditampilkan pada musim ini, sekali gus mencantas jurang perbezaan kepada 24 mata ke atas jaguh Jerman itu.

“Montreal telah sekian lama menjadi litar baik buat saya dan berharap kali ini saya akan berupaya untuk bersinar kembali seperti kali pertama saya di litar itu,” ujar juara dunia tiga kali itu menjelang perlumbaan Ahad ini.

Satu lagi kemenangan buat pelumba Britain dan kegagalan Rosberg untuk meraih sebarang mata akan menyaksikan Hamilton merampas kedudukan pendahulu.

Hamilton dan Rosberg ketika sesi bersama peminat menjelang GP Montreal Ahad ini. – AP
Hamilton dan Rosberg ketika sesi bersama peminat menjelang GP Montreal Ahad ini. – AP

“Secara normal ia adalah litar yang baik buat saya jadi saya berharap dapat menggunakan kelebihan itu. Namun keadaan cuaca tidak menentu dan saya juga pernah mendapat perlumbaan yang buruk di sini.

“Saya hadir ke sini dengan perasaan yang positif namun saya juga sedar bagaimana musim ini berjalan setakat ini. Saya tidak hadir ke sini dengan berfikir semuanya akan menjadi hebat sekali lagi kerana kami sudah menang satu perlumbaan.

“Ada lubang-lubang di sini yang menyebabkan kami mudah hilang kawalan namun saya juga sedar yang kami boleh mengatasinya,” katanya.

Hamilton meraih kemenangan pertama di GP Kanada pada musim pertamanya pada 2007 namun dia turut berdepan beberapa episod duka di litar kebanggaan Kanada itu.

Pada 2008, dia mengalami kemalangan dengan pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen di hentian pit lantas menarik diri dari perlumbaan.

Pada 2011 pula, dia berlanggar dengan rakan sepasukannya di McLaren, Jenson Button ketika cuba untuk memintasnya dan menghentam dinding litar.

Hamilton dalam pada itu mengakui dia cukup gembira dengan kemenangan yang amat diperlukan di Monaco di mana Rosberg menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

“Saya tiba ke perlumbaan terakhir dengan ketinggalan 43 mata dan kini saya tiba dengan 24 mata ketinggalan jadi ia menunjukkan sasaran kami sentiasa berjalan,” kata Hamilton.

“Dengan 15 pusingan perlumbaan lagi, apa saja boleh berlaku,” katanya. – AFP