Hamilton hilang kata-kata

Hamilton hilang kata-kata

MONZA, Itali, 5 Sept – Lewis Hamilton mengakui dirinya sukar untuk menjelaskan berkenaan permulaan buruknya pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Itali, malam tadi.

Pendahulu kejuaraan dan juara dunia bertahan tiga kali itu tercicir ke tempat keenam biarpun bermula di petak utama ketika rakan sepasukan Mercedes, Nico Rosberg berada di depan perlumbaan dan meleburkan peluang Hamilton untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut.

Rosberg menamatkan saingan di depan Hamilton dan merapatkan jurang daripada sembilan kepada dua mata dengan saingan berbaki tujuh perlumbaan musim ini.

“Jelas sekali ia permulaan yang buruk. Saya tahu jurutera saya berasa bimbang atau gementar memikirkan bagaimana permulaan perlumbaan berjalan, jadi saya cuba untuk meredakan tekanan itu.

Hamilton (kiri) yang hanya mampu meraih tempat kedua di GP Itali. – AFP
Hamilton (kiri) yang hanya mampu meraih tempat kedua di GP Itali. – AFP

“Saya tidak pasti apa yang berlaku, saya akan cuba memahaminya selepas ini. Saya melakukan semua seperti biasa.

“Saya melakukan perkara yang hampir sama, saya rasa saya mungkin terlalu banyak menggerakkan tayar – sama seperti Nico alami di Hockenheim,” kata Hamilton.

Bagaimanapun, Hamilton berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan turut berkongsi kegembiraan dengan kejayaan Rosberg yang melakar kemenangan pertama di Monza. – AFP