Hamilton juara lagi

Hamilton juara lagi

SILVERSTONE, 6 Julai (AFP) – Juara dunia Lewis Hamilton menjuarai Grand Prix Britain buat kali ketiga semalam selepas bangkit mengatasi dua pelumba Williams, Felipe Massa dan Valtteri Bottas pada awal perlumbaan dalam cuaca hujan.

Rakan sepasukannya Nico Rosberg memastikan kejayaan berturut-turut buat pasukan Mercedes AMG Petronas, sementara pelumba Ferrari, Sebastian Vettel berada di tempat ketiga, sekali gus menyaksikan Hamilton semakin melebarkan jurang kepada 17 mata ke atas Rosberg.

Walaupun bermula di petak paling hadapan, juara dunia itu dan rakan sepasukan, Rosberg, ketinggalan sebaik saja perlumbaan bermula apabila dipintas Massa yang berada di petak ketiga bersama Bottas.

Namun, Hamilton berjaya mengatasi kedua-dua perlumbaan tersebut sebaik melakukan hentian pit pertama dengan berada di hadapan dengan kelebihan enam saat.

Sementara itu, Bottas yang cuba mempertahankan kelebihan di tempat ketiga di hadapan Rosberg akhirnya terpaksa akur apabila hujan yang pada pusingan ke-36 menukar rentak perlumbaan.

Hamilton mengucup trofi kejuaraan Formula Satu Grand Prix British semalam. – AFP
Hamilton mengucup trofi kejuaraan Formula Satu Grand Prix British semalam. – AFP

Rosberg berjaya memecut untuk memintas kedua-dua pemandu Williams bagi berada di tempat kedua dan muncul pendahulu buat seketika sebaik saja memasuki hentian pit kedua pada pusingan yang ke-43.

Namun, tindakan Hamilton menukar tayar jenis pertengahan dengan hujan kembali reda memaksa Rosberg menukar strategi dan situasi itu memberi kelebihan kepada pelumba Britain itu.

Vettel yang bermula perlahan dengan meraih tempat kesembilan di peringkat awal perlumbaan membuktikan pengalaman banyak membantu untuk berada di tangga ketiga.

Perlumbaan GP British adalah pusingan kesembilan daripada keseluruhan 19 pusingan.

Lebih 140,000 peminat dilaporkan menyaksikan perlumbaan di Litar Silverstone itu yang menyaksikan Hamilton menyertai senarai legenda pelumba Britain selepas Jim Clark dan Nigel Mansell memenangi tiga perlumbaan di laman sendiri itu.

ARTIKEL YANG SAMA