Hamilton kembali berjuang

Hamilton kembali berjuang

MANAMA, 31 Mac (AFP) – Pemandu juara tiga kali dunia, Lewis Hamilton berkata dia sedang menanti-nanti peluang untuk satu lagi pertarungan dengan rakan sepasukan Mercedes Nico Rosberg dan pasukan Ferrari pada kejohanan Grand Prix Bahrain pada hujung minggu ini.

Pelumba Britain berusia 31 tahun, yang menduduki tempat kedua di belakang Rosberg pada Grand Prix Australia di Melbourne, telah terbabit dalam pertarungan sengit sebelum ini dengan pelumba Jerman di Litar Antarabangsa Bahrain.

Dia kembali berjuang selepas permulaan yang teruk di Australia untuk membantu Mercedes memberikan keputusan satu-dua pada perlumbaan pembukaan selepas usaha untuk memintas pemandu Ferrari, juara empat kali Sebastian Vettel dan pemenang kejuaraan 2007 Finland Kimi Raikkonen.

“Saya gembira apabila memikirkan terdapatnya lebih banyak perlumbaan seperti di Melbourne,” kata Hamilton.

“Kami tahu terdapatnya hujung minggu di mana kami mendahului beberapa saat di depan pasukan Ferrari, perlumbaan di mana ia seiring dan beberapa perlumbaan di mana mereka mungkin berada di depan.

“Buat masa sekarang, kami benar-benar tidak tahu apa yang ada di depan dan ia menjadikannya menarik.”

Vettel dan Raikkonen memanfaatkan permulaan yang perlahan oleh dua pelumba Mercedes di Melbourne mengawal perlumbaan dan mendahului lebih separuh daripada jarak sebelum perlahan – sebahagiannya disebabkan strategi tayar dan membaik-pulih.

Pada hujung minggu ini, Ferrari masih dijangka lebih kuat dan mempunyai peluang yang baik untuk mematah cengkaman Mercedes untuk memperoleh kemenangan.

ARTIKEL YANG SAMA