Hamilton masih mampu jadi juara F1

Hamilton masih mampu jadi juara F1

LONDON, 22 Nov – Lewis Hamilton menegaskan bahawa dia tidak akan berputus asa dalam memburu kejuaraan dunia Formula Satu yang disifatkannya mustahil pada perlumbaan Ahad ini.

Hamilton yang juga juara tiga perlumbaan terakhir – termasuk ketika mempamerkan aksi menakjubkan pada Grand Prix (GP) Brazil – bakal hadir di Abu Dhabi dengan ketinggalan 12 mata di belakang rakan sepasukannya di Mercedes, Nico Rosberg.

Pemandu berusia 31 tahun dari Britain itu sedar sekalipun dia menjuarai perlumbaan, Ahad ini, Rosberg hanya perlu menamatkan saingan di kelompok tiga teratas bagi merangkul gelaran sulung kejuaraan dunia.

Ia sekali gus menafikan Hamilton bagi menjadi pemandu Britain pertama memenangi gelaran juara dunia sebanyak empat kali.

“Ia bukanlah musim sempurna buat saya dan berdepan dengan sesuatu yang mustahil tidak kira apa juga yang saya lakukan hujung minggu ini,” kata Hamilton yang bakal menamatkan saingan tahun ini dengan kemenangan dan kedudukan petak hadapan yang lebih berbanding Rosberg jika menjuarai perlumbaan di Abu Dhabi.

Hamilton akan cuba untuk memintas pungutan mata rakan sepasukannya untuk menjurai kejohanan dunia F1 musim ini. – AFP
Hamilton akan cuba untuk memintas pungutan mata rakan sepasukannya untuk menjurai kejohanan dunia F1 musim ini. – AFP

“Saya tidak boleh dan tidak akan berputus asa. Kamu tidak akan tahu apa yang bakal berlaku – biarpun ia sesuatu yang mustahil.

“Saya akan tetap bangga dengan diri saya terhadap apa yang sudah dicapai selagi saya merasakan saya sudah melakukan yang terbaik. Tidak kira apa juga yang berlaku saya bangga dengan semua pihak yang menjadi sebahagian daripada kejayaan saya sejak beberapa tahun lalu.

“Saya akan tampil pada perlumbaan hujung minggu ini seperti biasa. Saya mahu menang dan saya akan lakukan apa saja bagi menamatkan saingan dengan keputusan yang terbaik”. Sementara itu, Rosberg yang menyaksikan bapanya menjadi juara dunia, 34 tahun lalu bersemangat untuk menjadi pemandu kedua daripada anak lelaki yang menjuarai perlumbaan permotoran berprestij berkenaan. – AFP