Hamilton, Nico focus Semula

Hamilton, Nico focus Semula

BUDAPEST, 23 Julai – Persaingan merebut kejuaraan membabitkan Lewis Hamilton dan Nico Rosberg kembali menghangatkan saingan pada Grand Prix Hungary hujung minggu ini dengan dunia perlumbaan Formula Satu masih dibayangi dengan kematian Jules Bianchi.

Bianchi, 25, meninggal dunia di hospital di kampung halamannya di Nice Jumaat lalu selepas bergelut dengan kecederaan di kepala yang dialami ketika Grand Prix Jepun, Oktober lalu. Ucapan simpati dan takziah buat keluarga Bianchi membuktikan betapa pemandu itu mendapat tempat di hati peminat.

Pembabitannya cukup memberi kesan sepanjang 34 perlumbaan Grand Prix dengan ramai pemerhati menyifatkan dia mampu menjadi bintang. Bianchi dikatakan bakal menggantikan tempat Kimi Raikkonen di Ferrari.

Hamilton, Rosberg, pemandu Brazil, Felipe Massa dan pelumba Perancis, Romain Grosjean turut menghadiri majlis pengebumian Bianchi di Sainte Reparate Cathedral di Nice kelmarin di samping juara empat kali F1, Alain Prost dan Sebastian Vettel serta Presiden FIA, Jean Todt.

“Mengucapkan selamat tinggal kepada Jules adalah sukar buat setiap orang,” kata Hamilton. “Saya amat berharap dapat mengenalinya dengan lebih rapat lagi. Namun daripada apa yang saya tahu mengenainya, dia baik hati dan mempunyai semangat hebat serta masa depan cerah.”

Lewis Hamilton memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Jules Bianchi di luar Cathedrale Sainte Reparate di Nice, Perancis kelmarin. – AFP
Lewis Hamilton memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Jules Bianchi di luar Cathedrale Sainte Reparate di Nice, Perancis kelmarin. – AFP

Nice terletak lebih kurang 30 kilometer dari trek yang menyaksikan Bianchi melakar aksi terbaik dalam kariernya ketika beraksi untuk pasukan Marussia yang kini dikenali sebagai Manor Marussia.

Dia menamatkan kedudukan di tempat kesembilan pada Grand Prix Monaco tahun lalu dan menyumbang mata pertama untuk pasukannya dalam saingan F1. Bianchi membuat penampilan pertamanya di GP bersama Marussia pada 2013. Tahun sebelumnya dia beraksi bersama Force India untuk beberapa sesi latihan.

“Kami berpeluang bekerjasama dengan Jules pada 2012 dan dia meninggalkan kesan yang kuat kepada semua orang,” kata prinsipal Force India. Vijay Mallya.

“Dia seorang lelaki cukup disenangi dan memiliki bakat luar biasa dan ditakdirkan untuk sukan ini. Dunia kehilangan pelumba sebenar dan kami kehilangan rakan sepejuangan.”

Kemalangan membabitkan Bianchi berlaku pada akhir perlumbaan di Litar Suzuka. Dalam keadaan cuaca hujan dan suram keretanya hilang kawalan lalu terbabas keluar trek dan melanggar kren membawa kereta Sauber dipandu pemandu Jerman, Adrian Sutil yang terlebih dulu terbabit dengan kemalangan sebelum itu. – AFP