Hamilton raih petak pertama GP Kanada

Hamilton raih petak pertama GP Kanada

MONTREAL, 12 Jun (AFP) – Lewis Hamilton meraih petak pertama menjelang perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Kanada selepas mencatat masa terpantas, mengatasi rakan sepasukannya di Mercedes, Nico Rosberg dalam sesi ujian kelayakan yang berakhir, semalam.

Juara dunia tiga kali itu, yang kembali menghidupkan peluang untuk mempertahankan gelarannya dengan menjadi juara pada GP Monaco, bulan lalu mencatat masa 1 minit 12.812 saat, 0.0062s meninggalkan Rosberg yang meraih petak kedua.

Kedua-dua pemandu itu gagal memperbaiki catatan masa mereka pada aksi penentuan 10 terbaik tetapi usaha awal yang dilakukan sebelum itu sudah cukup untuk membolehkan mereka berada di barisan hadapan.

Ia adalah petak hadapan kali ke-53 buat Hamilton sepanjang kerjayanya dan kelima di Litar Gilles Villeneuve, sekali gus memberi peluang cerah untuk dia merapatkan jurang dengan Roberg yang mendahului carta pemandu dengan kelebihan 24 mata.

Hamilton berjaya meraih petak pertama GP Kanada menewaskan rakan sepasukannya Nico Rosberg. – AP
Hamilton berjaya meraih petak pertama GP Kanada menewaskan rakan sepasukannya Nico Rosberg. – AP

“Ia adalah jurang yang lebih besar dalam sesi latihan semalam. Saya gagal mendapatkan rentak itu hari ini tetapi saya rasakan saya boleh melakukan yang lebih baik.

“Ia persaingan yang sengit antara kami dengan Ferrari, jadi ia hebat untuk peminat,” kata Hamilton.

Sementara itu, juara dunia empat kali, Sebastian Vettel meraih petak ketiga di depan pemandu Australia, Daniel Ricciardo dan rakan sepasukannya di Red Bull, Max Verstappen.

Kimi Raikkonen bakal memulakan perlumbaan di petak keenam manakala dua pemandu Williams, Valtteri Bottas dan Felipe Massa masing-masing ketujuh dan kelapan.

ARTIKEL YANG SAMA