Hamilton, Rosberg terlepas hukuman

Hamilton, Rosberg terlepas hukuman

BARCELONA, 16 Mei (AFP) – Lewis Hamilton dan Nico Rosberg terlepas daripada menerima hukuman atas insiden pelanggaran mereka pada pusingan pertama perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Sepanyol, semalam.

Kedua-dua pelumba pasukan Mercedes AMG PETRONAS itu berlanggar di selekoh empat Litar Catalunya ketika sedang bersaing sengit untuk mendahului perlumbaan.

Insiden itu menyaksikan kedua-dua jentera terbabas ke kawasan batuan sekali gus menamatkan perlumbaan lebih awal.

Siasatan oleh steward perlumbaan susulan insiden terbabit dan selepas menemui kedua-dua pelumba bagi mengambil keterangan menyaksikan tiada tindakan diperlukan kerana pelanggaran itu disebabkan oleh ‘insiden perlumbaan.’

Siasatan terbabit, Rosberg yang cuba memintas Hamilton yang memulakan perlumbaan di petak utama berdepan kehilangan kuasa pada jenteranya pada selekoh ketiga kerana dia memulakan perlumbaan mod enjin yang salah.

Keadaan itu memberikan kelebihan kelajuan terhadap juara dunia tiga kali, Hamilton ketika menuju ke selekoh keempat.

“Steward perlumbaan berkata ia adalah insiden perlumbaan, iaitu sesuatu yang kami perlu menerimanya,” kata Rosberg.