Hamilton sedia pertahankan gelaran Montreal

Hamilton sedia pertahankan gelaran Montreal

MONTREAL, 9 Jun – Lewis Hamilton sedia mempertahan kejuaraannya di litar Montreal, yang merupakan salah satu litar yang bertuah buatnya, kurang dua minggu selepas meraih kembali prestasi dan kemenangan pertamanya pada musim Formula Satu (F1) 2016.

Kemenangan beliau di litar sukar Monte Carlo adalah yang pertama sejak tujuh bulan lalu ketika dia menjuarai gelaran dunia ketiganya di Texas, Amerika Syarikat (AS) dengan rakan sepasukannya dari Mercedes AMG PETRONAS, Nico Rosberg sekadar menghuni tempat ketujuh.

Kejayaan di Monte Carlo itu turut mencantas jurang matanya bersama Rosberg iaitu daripada 43 mata kepada 24 mata.

Kali terakhir pelumba kelahiran Britain berusia 31 tahun itu memenangi perlumbaan F1 di Grand Prix (GP) Kanada adalah pada 2007 dan dia menambah tiga lagi kemenangan di Litar Gilles Villeneuve selepas itu, termasuk tahun lalu.

“Montreal sentiasa litar yang cukup baik buat saya. Harapnya, saya mampu untuk menyinar sekali lagi seperti pertama kali saya lakukannya di sini, di bandaraya yang mempunyai suasana yang hebat,” kata Hamilton.

Hamilton ketika menjuarai kejohanan GP Monaco baru-baru ini. – AP
Hamilton ketika menjuarai kejohanan GP Monaco baru-baru ini. – AP

“Saya fikir saya sudah membuktikan yang saya sentiasa kuat seperti dulu, dan ia akan kekal seperti itu sepanjang tahun. Perjalanan menuju kejuaraan masih lagi panjang dan kita sudah lihat daripada enam perlumbaan sebelum ini yang tiada apa yang mustahil.”

Jika keputusan sama di Monaco terjadi di GP Kanada, di mana litarnya bakal menguji ketahanan brek dan sentiasa memberikan cabaran akan membuka kembali persaingan merebut kejuaraan dunia.

Rosberg yang memenangi empat perlumbaan berturut-turut sejak pusingan pertama kini gagal menang dua pusingan terakhir namun dia menafikan mula merasa tekanan daripada rakan sepasukannya itu.

“Saya sudah menjangka perkara ini dan sudah bersedia menghadapi beberapa perlumbaan yang sukar selepas permulaan yang menakjubkan pada musim ini,” kata Rosberg.

“Pada perlumbaan Grand Prix sebelum ini, saya berharap untuk menolak nasib buruk daripada perlumbaan dan ia bermula sekarang,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA