Hamilton sentiasa ingat pesanan bapa

Hamilton sentiasa ingat pesanan bapa

SOCHI, Rusia, 13 Okt – Lewis Hamilton mengakui dia sentiasa mengingati pesanan bapanya ketika pemandu bintang pasukan Mercedes AMG Petronas itu di ambang memenangi kejuaraan dunia ketiga Formula Satu (F1). “Saya tidak berfikir mengenai ‘hampir’,” kata juara dunia dua kali itu menjawab soalan wartawan Britain sejurus meraih kemenangan kesembilannya musim ini di Rusia sama ada persaingan kali ini sudah berakhir.

“Sama ada anda menang atau tidak. Saya masih belum mencapainya. Itulah yang bapa saya selalu katakan. Sama ada anda lakukannya atau tidak dan saya masih belum mencapainya.”

Hamilton ketika ini 66 mata di depan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel dan 73 mata di depan rakan sepasukannya, Nico Rosberg berbaki empat pusingan perlumbaan. Pungutan mata yang dimiliki Hamilton itu jelas sukar lagi untuk di pintas namun baginya, selagi ia boleh dipotong secara matematik, dia masih lagi belum boleh menyertai kelompok pelumba elit yang memenangi tiga kejuaraan dunia. Begitu pun, ia tidak mustahil dicapai ketika perlumbaan di Grand Prix Amerika Syarikat, minggu depan. Andai pelumba berusia 30 tahun itu menang di Litar Austin dan Vettel gagal meraih tempat kedua, Hamilton sah menjuarai gelaran dunia menyamai pencapaian legenda Brazil yang juga wiranya, Ayrton Senna.

Lewis Hamilton ketika meraikan kejayaannya muncul juara GP F1 Rusia di litar Sochi Autodrom pada 11 Oktober 2015. – AFP
Lewis Hamilton ketika meraikan kejayaannya muncul juara GP F1 Rusia di litar Sochi Autodrom pada 11 Oktober 2015. – AFP

Kejuaraan itu tampak lebih sempurna jika dimenangi di Brazil bagi perlumbaan terakhir musim ini namun bintang Britain itu, lokasi tidak begitu penting.

Kemenangan di Sochi adalah yang ke-42 sepanjang karier Hamilton namun ia lebih bermakna buat pasukannya yang sah menjuarai gelaran dunia kategori pengeluar. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA